Thursday, March 1, 2012

'Jiwa besar' 5 pelajar 8A PMR tolak asrama penuh


PASIR MAS - Meskipun mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh, lima pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kangkong dekat sini sanggup menolak tawaran tersebut dan meneruskan persekolahan di sini, semalam.

Lima pelajar ini, mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu, berazam untuk menaikkan nama sekolah sekali lagi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun depan.

Raja Nur Farahin Raja Abd Halim, 16, berkata, dia mengakui sekolah berasrama penuh, mempunyai banyak kelebihan untuk mengulang kaji pelajaran, namun dia tidak dapat melupakan kemesraan gurunya di sini, yang banyak berkorban untuk kecemerlangan dalam pelajarannya.

“Saya berasa lebih mesra dengan teknik Pengajaran mereka, malah guru-guru juga menggunakan pendekatan yang lebih halus, agar kami tidak mudah leka ketika belajar,” katanya, semalam.

Sementara itu, Nuru Fatikah Md Nor, 16, berkata, dia menyangkal bahawa bukan semua pelajar cemerlang lahir dari sekolah berasrama penuh.

“Berbekalkan teknik pendidikan dan pengajian yang tepat, saya yakin, pelajar di sekolah luar bandar juga mampu untuk menjadi pelajar terbaik seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Nabilah Abdul Rahman, 16, berkata, jika dia ke sekolah berasrama penuh, dia mungkin terpaksa berjauhan daripada kedua ibu bapa, malah tidak dapat menumpukan perhatian ketika mengulang kaji pelajaran.

“Doa kedua ibu bapa adalah paling berharga, kerana tanpanya, kita mungkin akan tersesat jalan, malah tidak akan menemui matlamat utama kita berusaha dalam pendidikan,” katanya.

Meskipun Nurul Aimi Nadia Ibrahim, 16, tidak mendapat sebarang tawaran ke sekolah berasrama penuh, dia menasihati pelajar-pelajar lain, agar tidak terlalu memilih sekolah, kerana banyak sekolah di luar bandar terutama di Pasir Mas, mencatatkan keputusan cemerlang.

“Saya berjanji dengan diri, dengan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun depan, malah dapat menaikkan nama sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Nur Fatin Kartini Ramli, 16, berkata, kecemerlangan dirinya, adalah hadiah paling bermakna yang dapat diberikan kepada ibu bapanya.

“Meskipun bapa bekerja sebagai buruh dan ibu pula suri rumah, ia tidak menjadi halangan kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi seorang doktor di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, pengetua sekolah, Che Jusoh Ismail berkata, dia amat berbangga dengan pencapaian pelajar elit di sekolah ini, dan berharap mereka dapat mengulangi kejayaan dan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun depan.

No comments:

Post a Comment