Wednesday, June 4, 2014

Budak 11 tahun mekanik kereta


Tuan Asyraaf menghabiskan masa luangnya mempelajari ilmu mengenai enjin kereta daripada abangnya yang juga seorang mekanik.


DUNGUN - Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Biarpun umurnya baru 11 tahun, anak seorang mekanik, di sini, sudah pandai membaiki enjin kenderaan.

Malah Tuan Asyraaf  Tuan Muter mula berjinak-jinak dengan kerja membaiki enjin kereta sejak umurnya 9 tahun lagi.

Bakatnya itu diwarisi daripada bapanya, Tuan Muter Tuan Putih, 53, yang membuka bengkel kenderaan di rumah mereka dekat  Gong Pasir sebelum dia diserang angin ahmar kira-kira lapan bulan lalu.

“Saya nak jadi mekanik yang berjaya suatu hari nanti, dapat buka bengkel kereta sendiri,” kata murid  tahun lima SK Batu 48 itu.

Tuan Asyraaf berkata, dia tidak kisah dipandang sinis oleh rakan sebayanya berikutan dia memilih melakukan pekerjaan yang terpaksa bergelumang dengan minyak dan kotoran.

Katanya, dia yakin kerja membaiki kenderaan yang diminatinya itu memberikan masa depan yang cerah walaupun jika dia gagal dalam pelajaran.

“Kerja baiki kereta juga boleh dapat banyak duit jika dilakukan secara bersungguh-sungguh.

“Apa pun saya bangga dengan pekerjaan ini kerana ia juga satu pekerjaan halal dan boleh menjamin masa depan,” katanya.

Bagaimanapun Tuan Asyraaf berkata, walaupun sangat meminati pekerjaan itu, dia tidak pernah melupakan pelajarannya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia cuma melakukan pekerjaan itu selepas pulang dari sekolah, manakala masa terluang cuti sekolah pula dimanfaatkan untuk mendalami ilmu membaiki kenderaan daripada abangnya, Tuan Syed Azhan, 24, yang juga
seorang mekanik.

Katanya, dia kini sudah dapat menguasai kerja asas enjin seperti menukar minyak pelincir, penapis, membuka tayar dan servis enjin.

"Setiap hari saya akan  belajar perkara baru berkaitan enjin dan sejak tiga tahun saya membantu abang di bengkel, sudah banyak yang saya pelajari," katanya.

Menurutnya, setakat ini dia banyak membaik pulih kereta buatan tempatan seperti Proton Saga, Wira dan Perodua.

Bagaimanapun, dia bercita-cita mahu mendalami selok-belok enjin kereta buatan Eropah kerana tidak ramai mekanik yang mahir dengan kenderaan import itu.

“Kalau ada peluang, saya nak belajar enjin kereta BMW, Mercedes dan Audi.

“Mana tahu saya dapat jadi mekanik profesional yang mahir tentang enjin kereta mewah suatu hari nanti,” katanya.



Monday, April 28, 2014

Garis panduan baharu baucar buku kuatkuasa 1 Mei




SHAH ALAM - Mahasiswa yang memiliki Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) hanya boleh membeli buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja, berkuatkuasa pada 1 Mei depan.

Menurut Kementerian Pendidikan, langkah ini diambil selaras garis panduan yang baharu dan bagi memastikan pemberian BB1M mencapai matlamatnya.

"Selain itu, kelonggaran yang  membolehkan mahasiswa mengguna sebanyak 20 peratus daripada nilai baucar yang tidak dapat dihabiskan untuk membeli barangan lain selain buku turut dimansuhkan.

"Kementerian Pendidikan memandang serius terhadap sebarang penyalahgunaan BB1M dan menghargai aduan berkenaan penyalahgunaan daripada orang ramai," katanya yang dipetik dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan memperkenalkan BB1M sejak 2012 bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku-buku pengajian dan memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Sehingga kini, BB1M dimanfaatkan lebih 3.9 juta mahasiswa pra-universiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) warganegara Malaysia dengan peruntukan RM890 juta.

Bagi tahun 2014, peruntukan sejumlah RM325 juta diluluskan kerajaan untuk menjayakan pemberian BB1M kepada 1.3 juta mahasiswa.

Sementara itu, kenyataan itu turut menambah, garis panduan tersebut memperketatkan peraturan kepada pekedai buku iaitu mana-mana pekedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut.

Langkah ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M.

"Adalah diharapkan tidak akan berlaku kekeliruan di antara pekedai buku dan mahasiswa dalam pindaan garis panduan BB1M ini.

"Garis panduan ini dapat memudahkan kedua-dua pihak dan diguna dengan sebaiknya selaras dengan objektif BB1M," katanya.

Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan tersebut boleh didapati melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan [url]www.moe.gov.my[/url].

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urusetia BB1M melalui e-mel [email]bb1m@moe.gov.my[/email].

Wednesday, April 23, 2014

Semak Keputusan Penempatan Program Matrikulasi sesi 2014/2015,

matrikulasi-kpm-malaysia

KUALA LUMPUR - Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan akan mengumumkan keputusan calon yang berjaya dalam program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai esok.


Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan, Baharuddin Mohd Shairi dalam kenyataan hari ini berkata, pengumuman keputusan berkenaan adalah bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2013 yang telah membuat permohonan sebelum tarikh tutup pada 10 Oktober 2013.
    
"Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang KPM di www.moe.gov.my," katanya.
    
Tambah Baharuddin, bagi calon yang berjaya dan ditawarkan ke Program Matrikulasi KPM sesi 2014/2015, mereka dikehendaki membawa bersama surat tawaran, panduan pendaftaran, dokumen matlamat pelajar serta borang perjanjian pelajar (dua salinan).
    
Katanya, tarikh pendaftaran bagi Kolej Matrikulasi di seluruh Semenanjung ialah pada 26 Mei 2014.
    
Bagi Kolej Matrikulasi Labuan dan Kolej Matrikulasi Perlis, tarikh pendaftaran ialah pada 19 Mei 2014. Sementara bagi Kolej Matrikulasi Sarawak, Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Kelantan ialah pada 25 Mei 2014, jelas beliau.
    
"Bagi calon yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan terus menerusi laman sesawang KPM mulai 24 April hingga 8 Mei 2014. Rayuan yang dibuat selepas tarikh tutup iaitu 8 Mei tidak akan dipertimbangkan," katanya.
    
Katanya, sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Matrikulasi KPM di talian 03-88844036/4040/4083 pada hari bekerja dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. - Bernama

Tuesday, March 18, 2014

Keputusan STPM esok, SPM Khamis

kementerian pendidikan malaysia




KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2013 dikeluarkan esok, manakala keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 Khamis ini.

Bagi keputusan STPM, semua calon boleh mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.


Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, seramai 55,214 calon STPM tahun lepas dilaporkan telah hadir menduduki peperiksaan di 773 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT dan menghantarnya ke 15888, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, calon juga boleh melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada hari sama untuk semakan keputusan peperiksaan.

Menurut Khawari, persidangan akhbar mengenai analisis keputusan STPM 2013 akan diadakan setengah jam sebelum keputusan diedarkan kepada calon pada hari sama di Auditorium, Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Sementara bagi calon SPM, mereka boleh mendapatkan keputusan pada Khamis ini bermula 10 pagi di sekolah masing-masing.
Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata seramai 470,395 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di 3,616 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Semakan keputusan SPM juga boleh dibuat melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM dan hantar ke 15888. Perkhidmatan disediakan KPM itu diaktifkan mulai 10 pagi Khamis dan ditamatkan pada 11.59 malam 26 Mac.

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan SPM 2013 akan diadakan 9 pagi Khamis di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Parcel E, Putrajaya. - BERNAMA 

Tuesday, February 11, 2014

Biasiswa bagi kursus pengajian Jepun kini dibuka

bendera jepun

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Jepun dan latihan perguruan di negara itu dipelawa memohon biasiswa tajaan kerajaan Jepun (Monbukagakusho(MEXT)), yang dibuka sehingga 11 Mac.


Menurut Kedutaan Jepun dalam kenyataan di sini, biasiswa bagi kursus bukan ijazah selama setahun dalam pengajian Jepun itu ditawarkan kepada siswazah tahun kedua dan ketiga mana-mana universiti tempatan dengan pengkhususan utama dalam bahasa atau budaya Jepun.

Pemohon mestilah berusia antara 18 hingga 29 tahun pada 1 April 2014 iaitu mereka yang lahir antara 2 April 1984 dan 1 April 1996, serta fasih dalam bahasa Jepun.

Sementara itu, biasiswa untuk kursus pengajian bukan ijazah selama 18 bulan bagi latihan perguruan, terbuka kepada siswazah universiti atau maktab perguruan dengan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman berkhidmat di sekolah rendah,  menengah atau sebagai staf akademik di mana-mana maktab perguruan.

Pemohon juga mesti berumur di bawah 35 tahun pada 1 April 2014 iaitu mereka yang lahir selepas 2 April 1979 dan mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris serta ingin mempelajari bahasa Jepun.

Menurut kedutaan itu, setiap penerima biasiswa yang layak bagi mengikuti pengajian Jepun akan diberikan elaun bulanan kira-kira 117,000 Yen (RM3,800), manakala bagi latihan perguruan, kira-kira 143,000 yen (RM4,600).

Mereka yang layak akan turut menerima tiket penerbangan pergi dan balik, serta pengecualian pembayaran yuran peperiksaan kemasukan universiti, matrikulasi dan tuisyen di universiti.

Permohonan bagi biasiswa pengajian Jepun perlu dikemukakan di kedutaan itu dan pemohon boleh melayari http://www.my.emb-japan.go.jp/English/JIS/education/scholarship/scholarship.htm atau menghubungi 03-2177 2600 sambungan 157 atau 146 untuk maklumat lanjut.

Bagi permohonan biasiswa latihan perguruan pula, ia perlu dilakukan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan pemohon boleh melayari http://www.jpa.gov.my/ atau menghubungi Cik Wan Izni Wan Hamdi di 03-8885 3420 atau izni.hamdi@jpa.gov.my atau Puan Nazrina Abdul Malik di talian 03-8885 3438 atau nazrina.malik@jpa.gov.my untuk maklumat lanjut.

Permohonan bagi kedua-dua biasiswa ditutup pada pukul 4 petang 11 Mac ini dan pihak kedutaan akan menghubungi mereka yang memenuhi syarat melalui emel atau surat untuk temu duga yang dijangka diadakan pada 1 atau 2 April. - Bernama

Saturday, January 18, 2014

10 pekerjaan tawar gaji paling tinggi

10 pekerjaan tawar gaji paling tinggi



Industri berasaskan teknologi dan sains adalah sektor pekerjaan yang menawarkan gaji paling tinggi di negara ini, menurut kaji selidik terbaru portal pengambilan pekerja dalam talian, Jobstreet.com.

Kaji selidik mengenai 10 Pekerjaan Menawarkan Gaji Tertinggi di Malaysia itu adalah berdasarkan gaji yang disenaraikan oleh majikan di laman web Jobstreet.com bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2013. 

Jobstreet.com berkata, kaji selidik itu mendapati pekerja yang berkhidmat dalam jawatan eksekutif yang mengkhusus dalam bidang perubatan, kejuruteraan, kewangan dan teknologi maklumat (IT) secara amnya memperoleh gaji lebih tinggi, dengan gaji purata RM2,800 sebulan. 

Graduan baru 

Bagi pekerja peringkat pengurusan dan ke atas dan mengkhusus dalam bidang IT, sains dan kejuruteraan, mereka dibayar gaji yang lebih tinggi.

Graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian secara purata boleh menjangkakan gaji RM2,100 sebulan yang mana gaji yang ditawarkan untuk golongan itu membabitkan semua industri adalah antara RM1,600 hingga RM3,000.

Menurut Jobstreet.com, sektor farmasi menawarkan gaji tertinggi untuk graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian dengan pendapatan RM3,600 sebulan sebagai gaji permulaan, manakala eksekutif diberi tanggungjawab merangka strategi korporat menduduki tempat kedua dengan gaji asas RM3,200. 
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu hanya membabitkan gaji pokok dan tidak termasuk faedah lain seperti jumlah kelayakan cuti, faedah perubatan, insurans dan insentif lain.

Portal itu berkata, walaupun doktor muda boleh mencapai gaji sebanyak RM2,700, gaji mereka boleh meningkat dengan pantas kepada kirakira RM3,900 sebulan dengan hanya tiga hingga empat tahun pengalaman.