Friday, June 29, 2012

Pelajar kita pelari obor Olimpik

AHMAD Aiman membawa obor Sukan Olimpik 2012 di Nottingham, semalam.
AHMAD Aiman membawa obor Sukan Olimpik 2012 di Nottingham, semalam.


NOTTINGHAM: Semalam adalah hari bersejarah bagi Ahmad Aiman Asmayatim, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, ketika menyambut obor dalam larian obor Sukan Olimpik 2012 di sini.

Dia antara 20 anak muda dari 20 negara yang dipilih dalam larian berkenaan dengan kumpulannya adalah yang kedua membuat larian di sepanjang jalan di Nottingham menuju pusat bandar.

Orang ramai berkumpul di sepanjang jalan memberi tepukan dan sorakan dalam suasana karnival serta berakhir dengan persembahan di pusat bandar ini. Kumpulan Aiman termasuk wakil dari Pakistan, Azerbaijan, Zambia dan Brazil.


"Saya tak pernah bayangkan akan terbabit dalam acara Olimpik ini. - Ahmad Aiman Asmayatim, Pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman
“Perasaan seronok, tak tahu apa nak kata. Seperti sudah berada di puncak. Saya tak pernah bayangkan akan terbabit dalam acara Olimpik ini,” kata Aiman selepas larian itu.

Aiman, 16, dipilih sebagai pembawa obor Olimpik menerusi Program International Inspiration berikutan pembabitan aktifnya dalam program kepemimpinan sukan di sekolah.

Namun, tidak mudah baginya untuk menjadi pelari pembawa obor. Dia terpaksa melalui beberapa peringkat tapisan dan ditemuduga oleh British Council, di Malaysia sebelum dipilih.

Teing Tai Chee, guru Sekolah Menengah (J) Kebangsaan Shing Chung yang menjadi pengiring Aiman, berkata sifat kepemimpinan pelajar itu memang terserlah, bijak berkomunikasi serta kelihatan sangat matang.

Aiman yang bercita-cita menjadi penyiasat adalah penolong kapten pasukan bahas Bahasa Melayu sekolahnya. Dia mempunyai cara pemikiran kritikal dan analitikal yang membantu kejayaan pasukannya.

Aiman akan pulang membawa seribu kenangan yang akan memberi dorongan kepadanya untuk terbabit dalam aktiviti memupuk perpaduan antara kaum di seluruh dunia.
“Saya tak tahu apa perasaan ibu bapa, tetapi nenek kata saya membanggakan keluarga dengan pembabitan dalam Olimpik ini,” katanya.

Walaupun Aiman hanya akan mengikuti acara Olimpik menerusi televisyen, dia mendoakan kejayaan atlit Malaysia kelak. “Berjuanglah bersungguh-sungguh demi negara dan harap kita bawa balik pingat tahun ini,” katanya yang berlepas pulang, malam tadi.