Monday, September 16, 2013

Budak perempuan 13 tahun jadi pelajar ijazah sarjana


TEJ BAHADUR VERMA membawa Sushma Verma pulang dari pusat pengajiannya di Lucknow, India semalam.- AP


LUCKNOW - Seorang budak perempuan memecahkan benteng norma pendidikan di India apabila dia memulakan pengajian di peringkat ijazah sarjana pada usia 13 tahun.

Budak perempuan berkenaan, Sushma Verma mengambil jurusan mikrobiologi.

Sushma berkata, dia menamatkan pengajian sekolah menengah pada usia tujuh tahun dan memperoleh ijazah sarjana muda ketika berumur 13 tahun.

"Kejayaan tersebut adalah hasil titik peluh dan pengorbanan ibu bapa saya," katanya.

Ibu bapa Sushma tidak berpelajaran tinggi. Mereka tinggal bersama tiga adik Suhsma di sebuah bilik kecil di ibu negeri Uttar Pradesh di sini.

Bapa kanak-kanak pintar itu, Tej Bahadur Verma, 50, bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan 200 rupee (RM10) sehari.

Lelaki tersebut menjual tanah miliknya seluas 930 meter persegi untuk membayar yuran pengajian Sushma. Baki pembiayaan pengajian tersebut diperoleh daripada derma orang ramai. - AP


Thursday, September 12, 2013

Keputusan rayuan ke IPTA boleh disemak esok


KUALA LUMPUR - Keputusan rayuan permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf (Ijazah Pertama) boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari esok.     


Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Morshidi Sirat berkata, calon boleh membuat semakan keputusan di http://upu.mohe.gov.my, http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my  dan http://jpt.ums.edu.my.

Beliau berkata, mereka juga boleh menyemak keputusan rayuan ke IPTA dengan menghubungi Hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau menerusi khidmat pesanan ringkas dengan menaip UPU RESULT [Nombor kad pengenalan] dan hantar ke 15888.

"Calon juga boleh membuat semakan tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi menerusi laman web rasmi IPTA berkaitan mulai esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Morshidi berkata, Kementerian Pendidikan tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil dalam pengurusan pemilihan kes rayuan ke IPTA.  

Beliau berkata, semua pengurusan pengambilan diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar,  Jabatan Pengajian Tinggi dengan mengguna pakai dasar, prosedur serta kriteria pemilihan yang ditetapkan kementerian.

"Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baharu di IPTA," katanya.

Beliau berkata keputusan rayuan adalah muktamad, sekiranya tiada sebarang tawaran diterima daripada IPTA sehingga 30 Sept, maka rayuan hendaklah dianggap gagal. - Bernama