Tuesday, April 10, 2012

Kerajaan tawar Bursary (dermasiswa) kepada 1,609 lepasan cemerlang SPM 2011





KUALA LUMPUR - Semua 1,609 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 9 A+ hingga 12 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 ditawarkan "bursary" (bantuan kewangan pengajian) secara automatik untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan atau prauniversiti dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan kewangan itu disediakan Kementerian Pelajaran untuk pengajian di peringkat prauniversiti sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tawaran bantuan kewangan pengajian kepada 1,020 pelajar yang memperoleh 9A+, 492 pelajar 10A+, 90 pelajar 11 A+ dan tujuh pelajar 12 A+ adalah secara automatik tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang itu adalah tanda keprihatinan kerajaan mengiktiraf kecemerlangan pelajar berkenaan.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan cemerlang tetapi tidak berjaya mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan cemerlang.

"Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan daripada segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, bagi pengambilan tahun ini, kerajaan membelanjakan sejumlah RM2.12 bilion untuk membiayai kos keseluruhan pengajian pelajar di universiti dalam dan luar negara.

Beliau berkata, program prauniversiti dalam negara yang ditawarkan bantuan kewangan ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Program Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang menjurus kepada pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) tertentu di dalam negara dan International Baccalaurate (IB) atau A-Level.

Namun, katanya bagi kemasukan ke IPT awam dalam negara kelayakan IB dan A-Level terhad kepada bidang selain daripada bidang kompetitif membabitkan perubatan, pergigian dan farmasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemberian bantuan kewangan itu tertakluk kepada pelajar telah ditawarkan atau ditempatkan di pusat persediaan ditetapkan kerajaan di mana semakan dan pengemaskinian profil pelajar Program Bursary boleh dibuat di www.moe.gov.my mulai 16 April ini.

Muhyiddin berkata bagi mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) program ijazah luar negara bermula 2014, pelajar lepasan Program Bursary perlu mencapai sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan setara di peringkat persediaan. - Bernama