Tuesday, March 18, 2014

Keputusan STPM esok, SPM Khamis

kementerian pendidikan malaysia




KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2013 dikeluarkan esok, manakala keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 Khamis ini.

Bagi keputusan STPM, semua calon boleh mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.


Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, seramai 55,214 calon STPM tahun lepas dilaporkan telah hadir menduduki peperiksaan di 773 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT dan menghantarnya ke 15888, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, calon juga boleh melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada hari sama untuk semakan keputusan peperiksaan.

Menurut Khawari, persidangan akhbar mengenai analisis keputusan STPM 2013 akan diadakan setengah jam sebelum keputusan diedarkan kepada calon pada hari sama di Auditorium, Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Sementara bagi calon SPM, mereka boleh mendapatkan keputusan pada Khamis ini bermula 10 pagi di sekolah masing-masing.
Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata seramai 470,395 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di 3,616 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Semakan keputusan SPM juga boleh dibuat melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM dan hantar ke 15888. Perkhidmatan disediakan KPM itu diaktifkan mulai 10 pagi Khamis dan ditamatkan pada 11.59 malam 26 Mac.

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan SPM 2013 akan diadakan 9 pagi Khamis di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Parcel E, Putrajaya. - BERNAMA