Tuesday, March 27, 2012

Biasiswa untuk lepasan SPM, STPM

Raja Azura 

PETALING JAYA – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan) melalui program sulungnya, Peneraju Tunas Potensi, menyediakan biasiswa kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Sehubungan itu, lepasan SPM dan STPM digalakkan mengambil peluang ini yang terbuka kepada 100 pelajar menepati syarat kelayakannya iaitu Bumiputera, keputusan SPM, 5A ke atas dan bagi STPM, 2A ke atas, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pendapatan isi rumah bagi keluarga, RM3,000 ke bawah.

Objektif Peneraju Tunas Potensi adalah memastikan pelajar mendapat peluang pendidikan berdasarkan keperluan pembangunan individu.

Ketua Eksekutifnya, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, Peneraju Tunas Potensi menyediakan biasiswa pelbagai bidang, terutamanya kursus membawa kepada bidang kerja berpendapatan tinggi.

Katanya, seiring dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, iltizam mempertingkat bilangan Bumiputera yang dapat berdaya saing di peringkat pengajian bertaraf global.

“Matlamat Peneraju Tunas Potensi adalah membangunkan dan membentuk modal insan daripada persekitaran yang mencabar.

“Justeru, potensi diri golongan pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dapat digilap seterusnya dibantu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi serta mendapat pekerjaan kelak,” katanya.

Menurut Raja Azura, penekanan diberikan kepada golongan kurang berkemampuan, namun tidak terhad hanya di luar bandar sahaja.

Menerusi program ini katanya, pelajar mendapat tajaan sepenuhnya untuk melanjutkan pengajian dan pelajar akan ditempatkan di institusi menawarkan program seperti A-Levels dan International Baccalaurate serta universiti yang terpilih dengan program pembangunan berstruktur untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah.

Mereka yang ingin memohon boleh melayari www.penerajuedu.com untuk maklumat lanjut.

Permohonan dibuka mulai sekarang sehingga 6 April 2012.

Sebelum ini, pada pelancaran Transformasi Ekonomi Bumiputera, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Yayasan menyasarkan pembiayaan 12,000 pelajar dalam tempoh lima tahun ini.

Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada pembiayaan kursus latihan dan profesional bagi tenaga kerja bumiputera untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman kerja.

Yayasan, yang bakal meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan Bumiputera menyasarkan dana berjumlah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

Setakat hari ini, Yayasan mendapat bantuan sokongan bernilai RM158 juta dari 21 buah syarikat dan institusi.

Antara syarikat yang memberi sumbangan besar kepada dana yayasan itu adalah CIMB Group Holdings, Felda Holdings, Maybank, Management Science University, University of Nottingham, Kumpulan Sapura, Sime Darby, Telekom Malaysia, UEM Group dan Yayasan Al-Bukhary, yang masing-masing menyumbang RM10 juta.

Friday, March 16, 2012

Tips dan Panduan Kerjaya Selepas SPM 2011!

 
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai serba sedikit mengenai maklumat dan perancangan kerjaya selepas SPM 2011 khususnya. Tips dan maklumat  berikut insyallah akan terus membantu anda dalam mengejar impian dan cita-cita yang diidam-idamkan selama ini.

Jika tiada perancangan dari awal, kebanyakan dari anda masih mencari apa yang harus anda lakukan selepas tamat persekolahan peringkat menengah.  Sebahagian besar dari anda sudah merancang dari awal untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan seterusnya memohon kursus tertentu di institusi-institusi pengajian yang terpilih.

Peluang untuk belajar di negara ini tidak terhad. Anda bebas untuk memilih dan memasuki mana-mana institusi pengajian mengikut kelayakan serta minat anda. Persediaan awal adalah penting untuk menjadikan anda sebagai calon terbaik dalam proses pemilihan kerjaya selepas SPM 2011 nanti.

Keputusan anda kelak akan menentukan masa depan anda pada masa hadapan. Jadi sebelum mengisi borang permohonan adalah penting untuk melihat latar belakang akademik, minat dan komitmen anda. Adalah lebih baik jika anda telah membuat satu pelan perancangan sebelum dan selepas membuat sesuatu keputusan.

Jika anda telah yakin untuk memilih satu kursus yang anda minati, anda haruslah berhenti untuk berfikir kembali. Kenapa tidak memilih itu dan ini? Kenapa tidak cuba kursus itu? Ini penting supaya setiap keputusan anda adalah jelas serta mempunyai alasan yang kukuh.

Namun begitu,komitmen dan motivasi haruslah diberi kepada setiap keputusan anda.  Jika anda mempunyai idea yang jelas terhadap apa yang anda hendak capai, penyelidikan mengenai jalan serta cara-cara untuk mencapai kejayaan hendaklah dibuat. Ibu bapa adalah pendorong utama kepada cita-cita anda namun begitu anda adalah penggerak utama kepada diri anda sendiri.

Pembiayaan pelajaran semasa di IPT atau mana-mana institusi pengajian kelak sangat penting kerana hampir kesemua tempat pengajian mengenakan bayaran yuran pengajian.


Jika anda memilih untuk ke institusi swasta, bayaran yuran pengajian mungkin agak tinggi namun terdapat pelbagai kemudahan untuk mendapatkan pembiayaan. Pembiayaan sara hidup untuk tempat tinggal, makanan, buku dan kegiatan lain harus juga diambil kira.

Ini adalah sedikit sebanyak tips dan maklumat penting untuk anda semua khususnya pelajar Lepasan SPM 2011. Insyallah dengan doa dan iringan motivasi daripada ibu bapa, guru-guru dan sedikit tips dan maklumat daripada saya, saya yakin anda semua akan berjaya!!

Ingin mendapatkan buku Rujukan Informasi Kerjaya Lepasan SPM Edisi 2011/2012 yang terkini dan bantuan KHAS dari Cikgu Loh mengenai kerjaya?

Dapatkan rujukannya di www.LepasanSPM.com .

Tuesday, March 13, 2012

Keputusan SPM diumum 21 Mac



 Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 akan dikeluarkan pada 21 Mac 2012. Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.

Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.

Calon-calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2011 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 21 Mac 2012 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam,27 Mac 2012

Seramai 468,808 calon mendaftar telah menduduki peperiksaan tersebut di 3,533 pusat peperiksaan seluruh negara tahun ini.

Thursday, March 8, 2012

Kesusahan ibu bapa jadi perangsang

 

KUALA KLAWANG - Tindakan seorang calon peperiksaan Sijil Tinggi Perse­kolahan Malaysia (STPM) menjadikan kesusahan ibu bapa mencari rezeki bagi menghantarnya ke sekolah sebagai perangsang untuk berjaya berbaloi apabila mendapat keputusan cemerlang.

Malah kejayaan itu juga lebih bermakna apabila dia menjadi satu-satunya pelajar yang mendapat keputusan cemerlang sejak peperiksaan tersebut diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebang­saan (SMK) Datuk Undang Musa Al-Haj (DUMA).

Mohamad Helmi Ramli, 20, berkata, bapanya, Ramli Abu Bakar, 50, bekerja sebagai peneroka di Felda Lui Selatan, manakala ibunya, Irnawati Mohd Amin, 48 hanya suri rumah sepenuh masa.

“Ibu bapa saya banyak memberi galakan dan melihat keadaan mereka yang susah menjadikan saya lebih bermotivasi untuk belajar,” katanya yang menggemari mata pelajaran Bahasa Melayu.

Anak kedua dari empat beradik ini bertindak menukar aliran mata pelajaran dari sains tulen kepada sastera berikutan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang memberangsangkan.

Mohamad Helmi berkata, tindakannya untuk tinggal di asrama banyak memberi kelebihan kerana pengurusan masa ditentukan oleh warden.

“Di asrama saya berpeluang mengadakan belajar bersama rakan-rakan, menghadiri kelas tambahan, kelas kerohanian dan kursus motivasi. Saya tidak menyangka akan mendapat 4A dalam STPM meskipun semasa peperiksaan percubaan saya mendapat keputusan sama,” katanya.

Dia berkata, soalan peperiksaan percubaan lebih mudah daripada peperiksaan sebenar.

“Malah pada peperiksaan sebenar topik yang menjadi sasaran saya tidak banyak yang keluar,” katanya.

Katanya, dia bercita-cita untuk menjadi guru dan bercadang menyambung pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Bahasa Melayu.

“Terima kasih diucapkan kepada guru, rakan-rakan dan warden asrama yang banyak membantu saya selama ini,” katanya.


Wednesday, March 7, 2012

STPM guna sistem penilaian baru tahun ini





KUALA LUMPUR - Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan melaksanakan sistem pentaksiran baru Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada mulai tahun ini, bermula sesi pengambilan 2012/2013 Tingkatan Enam Bawah.

Pengerusi MPM Datuk Dr Mohd Noh Dalimin ketika mengumumkan perkara itu berkata dua kaedah pentaksiran akan dijalankan iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20 hingga 40 peratus, dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60 hingga 80 peratus.

Katanya langkah itu bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil yang lebih berfokuskan kepada pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

"Buat pertama kalinya, PBS diperkenalkan dalam hampir semua mata pelajaran Tingkatan Enam. Ini merupakan sejarah bagi MPM setelah terlibat dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM Tahun 2011, di sini hari ini.

Katanya PBS terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu kerja projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran bagi tiga penggal, iaitu penggal pertama, kedua dan ketiga dalam tempoh pengajian selama satu setengah tahun.

"Pelajar Tingkatan Enam Bawah pada tahun ini, merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baru STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal pertama persekolahan Tingkatan Enam pada November ini," katanya.

Mohd Noh berkata penilaian kerja kursus akan dibuat guru mata pelajaran di sekolah dan penyelarasan pentaksiran akan dijalankan MPM.

Katanya pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal.

Beliau berkata satu kelebihan sistem itu ialah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir penggal pertama dan/atau penggal kedua dengan menduduki semula peperiksaan tersebut pada penghujung penggal ketiga.

"Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal ketiga juga boleh menduduki semula peperiksaan akhir penggal ketiga," katanya.

Mohd Noh berkata dalam sistem pentaksiran baru STPM, tempoh pengajian Tingkatan Enam dan peruntukan waktu pengajaran adalah sama seperti tempoh dan waktu persekolahan sedia ada.

"Begitu juga daripada segi penawaran bilangan mata pelajaran yang tidak berubah, iaitu masih 23 mata pelajaran dan sistem penggredannya masih sama dengan sistem yang sedia ada," katanya.

Katanya MPM berharap pelaksanaan sistem pentaksiran baru itu akan dapat memperkasa dan mengangkat martabat pengajian peringkat prauniversiti di Tingkatan Enam serta dapat menarik lebih banyak pelajar mengikuti pengajian prauniversiti itu. - Bernama

Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua

 

BESUT - Seorang daripada pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri Terengganu, Siti Aisyah Syahirah Azman dariSekolah Menengah Agama Maarif di sini sentiasa mengamalkan empat perkara yang beliau anggap telah menentukan kejayaannya.

Anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini berkata amalan yang dilakukan secara ikhlas setiap hari itu mempermudahkan beliau belajar dan mengulang kaji pelajaran sehinggalah mencapai kejayaan dalam semua matapelajaran yang diambil.

"Saya selalu amalkan sembahyang sunat dhuha, sembahyang hajat, baca Al-Qurandan berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolahnya selepas menerima keputusan STPM di sini hari ini.

Gadis berusia 19 tahun ini memperolehi 'A' dalam Pengajian Am, Usuluddin,Syariah dan Sejarah serta 'B+' dalam Bahasa Arab.

Siti Aisyah Syahirah, anak seorang ahli perniagaan dan ibunya seorang guru agama, berkata masanya tidak pernah dibiarkan berlalu dengan kosong tanpa kegiatan yang berfaedah yang sekurang-kurangnya dipenuhi dengan membaca Al-Quran.

Menurutnya beliau telah khatam Al-Quran sebanyak 12 kali sejak berumur 12 tahun dan bercita-cita untuk menyambung pelajarannya di Universiti Malaya dalam bidang pendidikan.

Siti Aisyah Syahirah antara tiga pelajar terbaik negeri Terengganu selain Abdul Rahim Abdullah dari SMKA Durian Guling, Marang dan Rosmalizai Adanan dariSMK Tengku Ibrahim, Setiu. - Bernama