Wednesday, September 26, 2012

Permohonan Ke Tingkatan 4 MRSM Dibuka 1 Oktober

Permohonan Ke Tingkatan 4 MRSM Dibuka 1 Oktober

KUALA LUMPUR – Permohonan kemasukan ke Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun 2013 akan dibuka secara ‘online’ mulai 1 Oktober ini selama sembilan hari.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Mara, permohonan dan keterangan lanjut boleh dibuat dengan melayari laman web, www.mara.gov.my. BERNAMA


Thursday, September 13, 2012

Tindakan segera diambil atasi kesilapan pada kertas peperiksaan ujian Aptitud


KUALA LUMPUR - Lembaga Peperiksaan telah mengambil tindakan segera dalam mengatasi kesilapan pada kertas peperiksaan ujian Aptitud Tahun Enam yang diduduki pelajar pada petang ini.
   
Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, semua sektor penilaian dan peperiksaan Jabatan Pelajaran negeri diarah untuk memaklumkan kepada Ketua Pengawas peperiksaan sekiranya terdapat jawapan E bagi soalan 41 hingga 61, calon peperiksaan diarah untuk menulis huruf E di kertas jawapan objektif.
   
Masalah ini timbul apabila ruang jawapan objektif bagi soalan 41 hingga 61 yang disediakan untuk calon hanya mempunyai abjad A,B,C dan D sahaja, sedangkan pilihan jawapan pada kertas soalan itu adalah A,B,C,D dan E.
   
Kenyataan itu turut menyebut Lembaga Peperiksaan akan memeriksa jawapan calon secara 'hand score' dan keputusan ujian ini tidak akan menjejaskan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tidak dicetak pada slip keputusan calon.
   
Ujian Aptitud ini bertujuan melihat potensi diri, minat dan kecenderungan murid dan potensi yang dilaporkan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.
   
Minat dan kecenderungan murid dilihat dalam bidang akademik, teknik, vokasional, seni budaya dan sosial atau sukan, menurut kenyataan itu. - Bernama



Kertas percubaan SPM bocor di FB


KUALA LUMPUR - Soalan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bagi Kuala Lumpur dan Selangor, yang berjalan dari 29 Ogos lalu hingga 21 September ini, didakwa sudah tersebar menerusi laman sosial Facebook.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada seorang guru tuisyen yang memberitahu bahawa pautan kepada soalan itu dimuat turun di Facebook sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek.

''Selalunya mereka akan letak soalan itu sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek, namun apa yang menimbulkan tanda tanya sekarang mengapa tiada tindakan diambil meskipun ada guru sekolah yang mengetahui tentang perkara ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Sementara itu, semakan Sinar Harian di laman sosial berkenaan pada awal pagi mendapati terdapat 23,000 orang telah menerima laman tersebut, namun selepas maklumat mengenainya tersebar di media, laman itu telah tiada pada jam 3 petang tadi.

Hasil semakan itu mendapati terdapat 10 subjek yang didakwa kertas percubaan SPM sebenar peperiksaan telah dimuat turun di laman tersebut.

“Saya harap pihak berkuasa termasuk Kementerian Pelajaran dapat menyiasat dan mengenakan tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat kerana kertas percubaan yang dimuat turun adalah 99.9 peratus tepat seperti soalan sebenar,” katanya.






Monday, September 10, 2012

Gordon-Brown mahasiswa termuda

WALAUPUN bergelar mahasiswa, Gordon-Brown masih mengikuti kelas persekolahan seperti biasa.
WALAUPUN bergelar mahasiswa, Gordon-Brown masih mengikuti kelas persekolahan seperti biasa.

LONDON: Seorang budak berusia 12 tahun yang mendapat markah A bagi subjek matematik dalam peperiksaan sekolah menengah kini menjadi mahasiswa termuda Britain.

Berdasarkan umurnya, Xavier Gordon-Brown mungkin terlalu muda untuk dibenarkan membuka akaun di Facebook, namun pada masa sama, dia kini mengikuti kursus matematik bagi peringkat ijazah.

Gordon-Brown layak mengikuti pengajian peringkat universiti selepas lulus ujian Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) pada 2009 dan menjadikan dia calon termuda memperoleh markah A dalam subjek berkenaan.

Kini, Gordon-Brown mengikuti kelas pengajian di Universiti Terbuka di Grinstead Timur dua atau tiga kali sebulan.


Disebabkan usianya juga, Gordon-Brown terpaksa ditemani ibunya setiap kali dia pergi ke dewan kuliah.


Berasal dari Haywards Heath di Sussex, Gordon-Brown masih meneruskan persekolahannya seperti biasa, selain menyertai pelbagai aktiviti seperti belajar bermain klarinet, piano dan biola.

Di sekolah, Gordon-Brown mempelajari empat bahasa asing dan aktif bermain bola.

Dia mengikuti kuliah apabila tiada sesi persekolahan atau aktiviti berkaitan dengannya.

Ibu Gordon-Brown, Erica, berkata dia amat bangga dengan pencapaian anak bongsunya itu.

Walaupun ada ibu bapa yang memastikan anak mereka membesar di kalangan rakan sebaya, dia berpendapat, Gordon-Brown boleh menyesuaikan diri bergaul dengan mahasiswa yang jauh lebih dewasa daripadanya.

“Adalah baik untuk Gordon-Brown dapat berkawan dengan seseorang yang memiliki tahap intelektual setara dengannya,” katanya. 

Minat Gordon-Brown kepada angka bermula sejak awal.

Kata Erica, anaknya itu mula menguasai kemahiran sifir sebelum berusia empat tahun dan mampu menyelesaikan soalan aritmetik mental walaupun belum bersekolah. 

“Setahun selepas mencatat kejayaan di peringkat GCSE, Gordon-Brown lulus peperiksaan A-level,” katanya. - DM