Tuesday, November 12, 2013

Cabaran Guru Menghadapi Pekajar Yang Lemah



Manusia dianugerahkan Tuhan dengan kelebihan dan kekurangan. Ada yang dilahirkan otak yang baik dan sebaliknya terutama apabila bercakap mengenai pelajaran. Lumrah sekiranya murid-murid yang diajar mempunyai tahap pencapaian yang berbeza.


Kebanyakan pelajar lemah kurang menguasai pembelajaran di dalam kelas malah sering kali mendapat markah rendah setiap kali ujian. Merasakan tidak mendapat layanan sama rata daripada guru adalah perasaan normal bagi mereka.

Selain lemah penguasaan akademik, pelajar ini turut tidak mampu menguasai kemahiran bahasa dengan baik dan sering kali dikaitkan dengan masalah disiplin.

Ketika di bangku sekolah, penulis perhatikan ada guru yang melabelkan pelajar lemah dengan bermacam gelaran dan rata-rata panggilan berbentuk negatif. Sikap ini harus dielakkan daripada pendidik jika benar ingin membantu mereka.


Pun begitu, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar murid sama ada cerdik atau sebaliknya bagi menguasai cabang bidang tertentu.


Bahkan kini, banyak kelas tambahan diadakan untuk membantu pelajar terbabit menguasai bidang kemahiran seperti menjahit, kulinari, pembaikan paip, mekanikal dan sebagainya. 

Menerusi program yang diadakan itu sedikit sebanyak menaikkan semangat anak muda khususnya pelajar sekolah yang lemah dalam akademik untuk maju ke hadapan. Meskipun mempunyai kelemahan dalam aspek pendidikan. 

Sekiranya bertanyakan kepada mereka berkaitan kedudukan nombor dalam darjah, akan wujud pelbagai alasan yang diberikan kerana malu untuk berkongsi tahap pencapaian mereka dengan orang lain. 

Bayangkan sudah berada di tingkatan tiga, masih belum pandai membaca! Dari aspek kiraan pula, hanya mengenal tambah dan tolak. Hal yang berlaku tidak akan membawa kemajuan dalam diri pelajar sekiranya ibu bapa tidak bertindak hantar anak-anak ini ke sekolah kemahiran atau pendidikan khas. 

Rata-rata mereka yang lemah dalam pelajaran lebih mahir dalam bidang lain, kemudian bercita-cita membuka perniagaan sendiri selepas memiliki sijil kemahiran. 

Jika kita dapat lihat, ramai usahawan muda tidak punya sebarang kelulusan, namun masih mampu mengorak langkah menjadi seorang jutawan kerana pengukuran dari segi pendidikan bukan tonggak utama. Walhal ia hanya sekadar tulisan di atas kertas. Meskipun ada diploma sekalipun, itu bukan jaminan bagi memperoleh pekerjaan. 


Tak lulus mak bagi kahwin


Kegagalan dalam peperiksaan sering membuatkan kita kecewa. Bagi pelajar lemah, mereka merasakan tidak perlu lagi untuk ke sekolah kerana sukar mendapat keputusan cemerlang. 

Ditambah pula ‘bebelan’ emak di rumah bila bertanyakan perihal itu. Mereka akan rasa takut untuk berterus terang, seterusnya sembunyikan kad laporan pelajar daripada pengetahuan ibu bapa.

Ada juga bila dapat keputusan kurang memuaskan atau dalam kategori ‘tercorot’, emak akan memberi amaran untuk mengahwinkannya dengan mana-mana lelaki selepas tamat SPM. Nahas! 

Pun begitu, pelajar yang lemah tidak harus diketepikan bakat dan minat mereka yang mungkin belum ditonjolkan. 

Bagi Noor Suzana Mohd Ali, 18, sejak bertukar ke sekolah vokasional, dia sering mendapat pujian daripada guru berbanding semasa di sekolah yang pentingkan akademik. 

“Walaupun ayah menghantar ke pusat tuisyen selepas tamat sesi persekolahan pada sebelah petang, itu tidak membantu saya menjawab peperiksaan awal dan akhir semester. Bahkan masih berada di kedudukan terakhir dalam kelas. 

“Selepas tamat SPM, saya mengambil keputusan untuk mengambil kursus dalam bidang kemahiran pembuatan kek dan biskut. Jadi dari situ saya boleh tunjukkan kreativiti yang memang wujud sejak di bangku sekolah,” katanya yang bercita-cita untuk membuka kedai kek. 


Cabaran seorang guru 

Tugas dilalui oleh warga pendidik lebih hebat terutama membabitkan murid sederhana atau lemah ini. Namun jadikan ia sebagai cabaran untuk membantu anak bangsa. 

Bagi seseorang guru, bila terbabit dalam mengajar pelajar lemah, otak akan lebih cergas untuk memikirkan cara pembelajaran yang efektif ketika dalam kelas. Ia bertujuan membantu mengembalikan mutu belajar mereka. 

Aspek penting adalah guru perlu bijak mengawal tahap disiplin pelajar yang lemah khususnya ketika di dalam kelas agar tidak berlaku sebarang masalah atau ‘kenakalan’ mereka yang sukar untuk dikawal. 

Pun begitu, sekiranya ingin mengambil tindakan tegas terhadap pelajar terbabit, guru perlulah menjelaskan perkara itu kepada mereka agar tidak timbul perasaan dendam terhadap guru.

Difahamkan, ada pelajar sekolah berani membakar, mencalarkan cermin atau pancit tayar kereta guru, jika tindak-tanduk guru itu yang kurang disenangi. Perkara ini seharusnya dielakkan. 

Sebagai seorang warga pendidik yang berdedikasi, terangkan kepada pelajar lemah berkaitan peraturan sekolah. Bahkan berada di rumah atau jalan raya juga kita perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan. 

Guru harus peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar sama ada jasmani, rohani atau tahap keupayaan mereka menerima pengetahuan baru. Selain harus tunjuk sikap adil dan tidak pilih kasih dalam melayani kerenah anak murid.

Kesimpulannya, walaupun pelajar ini lemah dalam ­akademik dan tidak mampu memberikan jawapan dengan baik semasa peperiksaan. Jangan sesekali mempersendakan mereka kerana ia boleh mematikan semangat untuk belajar.


Mudah menghafal

1. Lebih awal

Kebanyakan pelajar kolej/ universiti suka belajar apabila dekat dengan tarikh peperiksaan. Ketika itu baru kalut nak ulang kaji. Kenapa tidak bermula pada awal semester? Sedangkan banyak yang perlu dihafal dan ditelaah. Masa singkat beberapa minggu sebelum peperiksaan adalah masa yang diperlukan untuk mengingat semula bahan bacaan yang sudah dipelajari. 


2. Topik kecil

Cuba untuk fokus kepada beberapa topik kecil semasa mengulangkaji. Buat satu jadual belajar dan setiap hari ulang kaji topik-topik kecil. Cara ini membuatkan mudah untuk ingat dan hafal. 


3. Pelbagai deria

Apabila membaca, kebiasaannya kita hanya menggunakan deria penglihatan. Kajian mengatakan, memori akan lebih terangsang untuk mengingati sesuatu ilmu itu dengan baik jika menggunakan semua jenis deria manusia. Sebagai contoh, sambil membaca (melihat), pelajar boleh menulis nota (rasa dengan jari). Ataupun, membaca sambil membuat nota dan mendengar muzik. Kalau boleh bunyian yang mampu menenangkan fikiran. 


4. Bantuan imej

Melihat gambar lebih memudahkan seseorang itu untuk hafal bahan bacaan terutama yang sukar untuk diingati. Sebagai contoh lukis organ badan manusia jika itu menyenangkan anda untuk faham berkaitan kedudukan organ dalaman badan manusia. 


5. Cukup rehat

Pastikan anda mendapat cukup rehat sebelum memulakan ulangkaji. Dalam keadaan badan keletihan dan kepenatan hanyalah membuang masa anda. Sekiranya anda rasa badan penat dan susah untuk fokus kepada teks yang dibaca, eloklah sekiranya anda tidur sejenak, kemudian bangun semula bagi menyambung ulangkaji, daripada meneruskannya tanpa sedikitpun yang dapat anda ingat. 


6. Peta minda

Kaedah ini sangat berguna terutamanya ketika beberapa hari sebelum anda menghadapi peperiksaan. Kalau berkesempatan, cubalah membuat nota ringkas yang boleh dijadikan bahan rujukan sebelum melangkah ke dewan peperiksaan. 


7. Berusaha, bersabar dan tawakal

Sekiranya anda berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar, secara tak langsung dapat merasai keperitan untuk menimba ilmu malah lebih menghargai apa yang diperoleh. Kebiasaannya ia lebih mudah untuk ingat. Manusia bijak pandai dan berjaya lahir daripada susah payah dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi sebelum menempa kejayaan. Ia tidak datang tanpa titik peluh dan itulah sebenarnya azimat kejayaan.

Belajar saat akhir


Masuk saja hujung tahun, kebiasaannya pelajar universiti dan kolej akan sibuk dengan minggu peperiksaan. Ditambah pula dengan pel­bagai aktiviti, tentu masa makin terhad. Masa untuk ulangkaji entah ke mana.


Bagi kebanyakan pelajar, saat ini yang paling tidak disukai. Melihat pula buku teks yang tebal dan sukar untuk habiskan dalam tempoh singkat, belum tentu mereka mampu buat.
Bila ini terjadi, ia turut menjejaskan masa makan, tidur dan rehat. Mana tidaknya, banyak subjek yang perlu mendapatkan lebih fokus untuk mendapat markah terbaik. Mungkin akan menjadi masalah besar sekiranya ada yang belajar pada saat akhir. Kusut kepala! 

Ketahuilah bahawa otak manusia tidak boleh menyerap segala macam maklumat dalam tempoh singkat. De­ngan perasaan tertekan, tentu sukar untuk faham benda yang dihafal.


Bagi mengelak situasi ini berlaku, jangan jadikan ruang tempat belajar itu bersepah dengan kertas, pen warna dan longgokan. Dalam situasi ini, ada pelajar yang masih belum ada nota belajar ­lengkap dan sibuk ‘fotokopi’ nota rakan lain. Malah lebih rajin ke perpustakaan berbanding sebelum tibanya peperiksaan.


Jika perkara ini terjadi, jangan panik dan tarik nafas dalam-dalam. Betul, anda sedang mengejar masa yang semakin suntuk tapi jangan bebankan diri dengan semua itu. Cuba hadapi dengan tenang. 

Belajar saat akhir ini bukan mudah, ia memerlukan anda beri lebih perhatian terutama berkaitan topik yang sering keluar dalam perbincangan bersama pensyarah atau guru sekolah. Namun, tidak sesekali ketepikan topik lain yang berkemungkinan akan disoal dalam kertas peperiksaan. 

Selain dapatkan maklumat tambahan daripada Internet atau buku rujukan. Cuba ingat maklumat penting dalam bentuk ringkasan dan lakukan peta minda untuk mudah ingat. 


Latihan atau baca?

Jurusan kejuruteraan dan subjek Matematik memerlukan kefahaman dari segi formula. Maka pelajar harus ingat setiap formula itu untuk berjaya menjawab soalan dengan baik. 

Dalam saat-saat akhir ini, sekadar membaca formula dalam buku teks belum dapat membantu anda menjawab soalan peperiksaan. Oleh itu, dapatkan kertas peperiksaan pada tahun atau semester yang lepas. Buat latihan sebanyak mungkin.

Kebanyakan pelajar sering menghadapi masalah yang sama di mana topik tumpuan tidak disoal dalam peperiksaan. Ada ketikanya mereka membiarkan kertas tanpa sebarang jawapan. Ada yang siap tidur dalam dewan. Perkara ini yang harus dielakkan. 

Jika pelajar melakukan latihan berulang kali dengan menjawab kertas semester lepas, ini membuatkan diri rasa lebih bersedia dan tahu corak soalan yang akan dihadapi. 

Ramai yang melakukan kesilapan di mana menelaah buku setiap inci tanpa melakukan sebarang bentuk latihan. Sedangkan, bila buat rutin ini di saat akhir, ia sedikit sebanyak membantu urusan untuk menjawab soalan. 


Tak logik hafal ‘satu’ buku

Tidak salah jika ada yang memilih jalan pintas untuk menghafal. Namun biarlah secara bijak kerana saat-saat akhir ini belum tentu apa yang dihafal boleh diingati sepenuh­nya. 

Bahkan ia hanya membuang masa yang ada dengan menghafal setiap inci buku dan cuba ingat setiap baris ayat. Langsung tidak relevan. Kalau membabitkan subjek sejarah mungkin boleh guna kaedah ini. 

Bagaimana jika anda tersalah hafal? Tentu maklumat dalam kepala jadi ‘cacamarba’. Kemudian, buat-buat pejam mata untuk ingat semula topik yang dihafal. 

Kesimpulannya, pilihlah cara yang berkesan untuk belajar di saat akhir sebelum menjejakkan kaki ke dewan peperiksaan. Jangan pula sorok nota dalam tandas, bila kena tangkap. Sesal tidak berguna lagi. 


Belajar berkumpulan

Pelajar sarjana di Universiti Australia Selatan, Amirah Mat Disa, 25, mengakui pernah belajar pada saat akhir dan meng­anggap ia istilah yang betul sebagai seorang pelajar. 

“Kebiasaannya, minit terakhir waktu belajar digunakan sebaiknya. Namun tidaklah sampai esok nak periksa, malamnya baru ulang kaji. Mungkin ia buat perasaan lebih tertekan. 

“Yang sering saya lakukan adalah belajar sekurang-kurangnya ada baki tiga hari sebelum tiba tarikh sebenar peperiksaan dan manfaatkan masa itu dengan sebaik­nya. 

“Bila tiba saat ini, saya akan buat nota ringkas yang memudahkan diri untuk baca, faham dan ingat. Kemudian ulang lakukan perkara yang sama beberapa kali sehingga puas hati dan faham setiap topik berkenaan,” katanya yang berasal dari Perak. 

Selain itu, katanya, dia turut gemar belajar secara berkumpulan dengan rakan sekelas kerana mudah untuk menentukan sama ada individu itu betul faham atau sebaliknya. 

“Kerap membuat kertas semester lepas juga turut membantu. Bertukar soalan dalam kalangan rakan lain juga membantu kita memahami.

“Ada ketikanya sambil memandu untuk menuju ke dewan peperiksaan, saya masih sempat berbincang dengan rakan kumpulan. Cara ini turut bantu jawab kertas soalan,” katanya.