Monday, April 28, 2014

Garis panduan baharu baucar buku kuatkuasa 1 Mei




SHAH ALAM - Mahasiswa yang memiliki Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) hanya boleh membeli buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja, berkuatkuasa pada 1 Mei depan.

Menurut Kementerian Pendidikan, langkah ini diambil selaras garis panduan yang baharu dan bagi memastikan pemberian BB1M mencapai matlamatnya.

"Selain itu, kelonggaran yang  membolehkan mahasiswa mengguna sebanyak 20 peratus daripada nilai baucar yang tidak dapat dihabiskan untuk membeli barangan lain selain buku turut dimansuhkan.

"Kementerian Pendidikan memandang serius terhadap sebarang penyalahgunaan BB1M dan menghargai aduan berkenaan penyalahgunaan daripada orang ramai," katanya yang dipetik dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan memperkenalkan BB1M sejak 2012 bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku-buku pengajian dan memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Sehingga kini, BB1M dimanfaatkan lebih 3.9 juta mahasiswa pra-universiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) warganegara Malaysia dengan peruntukan RM890 juta.

Bagi tahun 2014, peruntukan sejumlah RM325 juta diluluskan kerajaan untuk menjayakan pemberian BB1M kepada 1.3 juta mahasiswa.

Sementara itu, kenyataan itu turut menambah, garis panduan tersebut memperketatkan peraturan kepada pekedai buku iaitu mana-mana pekedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut.

Langkah ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M.

"Adalah diharapkan tidak akan berlaku kekeliruan di antara pekedai buku dan mahasiswa dalam pindaan garis panduan BB1M ini.

"Garis panduan ini dapat memudahkan kedua-dua pihak dan diguna dengan sebaiknya selaras dengan objektif BB1M," katanya.

Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan tersebut boleh didapati melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan [url]www.moe.gov.my[/url].

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urusetia BB1M melalui e-mel [email]bb1m@moe.gov.my[/email].

Wednesday, April 23, 2014

Semak Keputusan Penempatan Program Matrikulasi sesi 2014/2015,

matrikulasi-kpm-malaysia

KUALA LUMPUR - Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan akan mengumumkan keputusan calon yang berjaya dalam program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai esok.


Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan, Baharuddin Mohd Shairi dalam kenyataan hari ini berkata, pengumuman keputusan berkenaan adalah bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2013 yang telah membuat permohonan sebelum tarikh tutup pada 10 Oktober 2013.
    
"Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang KPM di www.moe.gov.my," katanya.
    
Tambah Baharuddin, bagi calon yang berjaya dan ditawarkan ke Program Matrikulasi KPM sesi 2014/2015, mereka dikehendaki membawa bersama surat tawaran, panduan pendaftaran, dokumen matlamat pelajar serta borang perjanjian pelajar (dua salinan).
    
Katanya, tarikh pendaftaran bagi Kolej Matrikulasi di seluruh Semenanjung ialah pada 26 Mei 2014.
    
Bagi Kolej Matrikulasi Labuan dan Kolej Matrikulasi Perlis, tarikh pendaftaran ialah pada 19 Mei 2014. Sementara bagi Kolej Matrikulasi Sarawak, Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Kelantan ialah pada 25 Mei 2014, jelas beliau.
    
"Bagi calon yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan terus menerusi laman sesawang KPM mulai 24 April hingga 8 Mei 2014. Rayuan yang dibuat selepas tarikh tutup iaitu 8 Mei tidak akan dipertimbangkan," katanya.
    
Katanya, sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Matrikulasi KPM di talian 03-88844036/4040/4083 pada hari bekerja dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. - Bernama