Monday, April 25, 2011

Mencari Idola Terbaik Remaja




ANDAI ditanya kepada remaja siapakah idola mereka, tentu ramai jawapannya berbeza mengikut minat dan impian masing-masing. Bagi yang menyukai bidang hiburan, tentu memilih penyanyi atau pelakon sebagai idola mereka. Bagi yang meminati sukan pula, bintang sukan yang hebat dan ternama menjadi pilihan. Begitu juga jika mereka meminati bidang lain.

Memilih seseorang yang baik sebagai idola tidak menjadi kesalahan, malah digalakkan sebagai inspirasi dan motivasi dalam mencapai impian dan cita-cita seseorang.

Namun, bagaimana pula jika idola yang dipilih itu amat rendah dari segi akhlak dan moralnya? Tambahan pula, hari ini sumber bacaan, terutama majalah sering memaparkan gelagat, bentuk tubuh, aksi, kisah peribadi dan sebagainya mengenai selebriti popular yang menjadi kegilaan remaja. 

Apabila menjadi idola, segala cerita peribadinya akan diingati dan dibawa ke mana-mana. Dengan rasa bangga, mereka mencanangkan pula kepada rakan sebaya mengenai apa yang diketahui mengenai idola itu, hinggakan perkara bersifat peribadi pun turut dihafal dan diingati. 

Sesekali difikirkan, itulah agaknya pilihan terbaik remaja masa kini. Itulah idola pujaan hidup mereka yang mesti dicontohi dalam melengkapkan diri sebagai remaja Islam era siber ini. 

Dunia remaja sebegitu akan kita dapati di akhbar dan media elektronik. Dunia keremajaan seperti ini dirasakan penuh dengan keseronokan, kegilaan, riuh rendah dan seolah-olah dunia ini berada dalam genggaman mereka. 

Amat jarang kita mendengar remaja kini menjadikan tokoh pejuang, sarjana, cendekiawan, ulama, pengarang atau mujahid Islam zaman Rasulullah SAW sebagai idola mereka. Seterusnya, meniru dan mengamalkan segala sifat dan peribadi mulia mereka. 

Dalam al-Quran dan sejarah Islam, banyak tokoh Islam yang boleh dicontohi. Umpamanya, keperibadian Nabi Muhammad. Allah sendiri mengakui bahawa pada diri Baginda banyak teladan baik untuk diikuti. Antaranya sifat amanah, benar, bijaksana, bersopan-santun, berbudi bahasa, cerdik, lemah-lembut, menjauhi persengketaan dan suka menolong orang lain. 

Begitu juga dengan pakaian dan rambut Baginda sentiasa bersih dan kemas. Baginda juga diberi gelaran al-Amin yang bermaksud boleh dipercayai. 

Jelaslah, pada usia remaja Baginda, Rasulullah wajar dijadikan model kepada seluruh umat Islam, malah umat manusia sejagat sama ada dari sudut akhlak, muamalah mahupun sahsiah.

Sesungguhnya, Allah menjadikan model akhlak, perilaku, perbuatan, perkataan dan keperibadian Baginda semata-mata agar umatnya mengikut dan meniru cara serta gaya Nabi Muhammad yang dikenali sebagai sunnah. 

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu ada contoh teladan yang amat baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak sewaktu susah dan senang." (Surah al-Ahzab, ayat 21) 

Begitu juga dengan sahabat dan tokoh Islam seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman Bin Affan, Saidina Ali Bin Abi Talib, Salman al-Farisi, Salahuddin al-Ayyubi dan Abu Ayyub al-Ansari yang sememangnya wajar dicontohi oleh remaja Muslim.

Mereka boleh dijadikan contoh pemuda dalam Islam yang mempunyai keperibadian kuat, setia kepada kawan dan beriman kepada kerasulan Nabi Muhammad sehingga dimuliakan dan menjadi kebanggaan umat Islam. 

Bagi remaja perempuan, alangkah bagusnya menjadikan Siti Khadijah Binti Khuwailid, Maryam Binti Imran, Saidatina Fatimah, Aisyah, Nusaibah dan ramai lagi wanita-wanita salihah yang mempunyai perwatakan, budi pekerti, tabah, cekal dan sebagainya yang boleh dijadikan idola atau role model dalam hidup. 

Sabda Rasulullah bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara: masa engkau hidup sebelum mati, masa engkau sihat sebelum sakit, masa engkau lapang sebelum sibuk, masa engkau muda sebelum tua dan masa engkau kaya sebelum miskin."

Hadis itu menjelaskan pentingnya umat Islam merebut lima perkara yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah iaitu masa hidup, sihat, lapang, muda dan senang atau kaya sebelum datangnya lima perkara yang lain iaitu masa mati, sakit, sibuk, tua dan miskin atau ditimpa kesusahan. Apa yang menarik perhatian dalam hadis itu adalah masa muda. 

Ia menunjuk dan membuktikan betapa tingginya pandangan Rasulullah terhadap kedudukan remaja. Hal ini dapat difahami bahawa kedudukan remaja dalam sejarah kehidupan manusia termasuk suatu perkara yang tidak boleh diabaikan.

Remaja adalah generasi harapan dalam membangunkan umat. Mereka yang akan mengambil alih tugas generasi tua untuk memimpin bangsa dan umat pada masa akan datang. Peranan orang muda penting dalam kehidupan masyarakat kerana watak dan buah fikiran mereka amat diperlukan untuk membangunkan sesebuah negara. 

Kemajuan sesebuah negara memerlukan remaja yang cergas dan berpendidikan. Remaja perlu memikirkan secara rasional apakah ertinya hidup. Adakah sekadar untuk hidup di dunia saja, tanpa memikirkan kehidupan di akhirat? Perlu disedari, era moden dengan pelbagai kecanggihan hari ini menjadi medan baru bagi musuh Islam untuk menyerapkan doktrin dan pengaruh buruk mereka ke dalam jiwa remaja. 

Hiburan yang dicorakkan mereka adalah alternatif mencapai cita-cita itu. Maka, lahirlah personaliti dengan rupa wajah yang pelbagai bentuk dari pelbagai sudut, seksi, tampan, gagah, kacak, berpeluk-pelukan dengan pasangan bukan muhrim. Begitu juga pelbagai lagi gelagat yang bercanggah dengan nilai murni agama dan budaya bangsa.

Justeru, penting bagi remaja Islam supaya berusaha membentuk keperibadian berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika ini dilakukan oleh remaja, nescaya akan wujud insan generasi alaf baru yang mempunyai peribadi yang seiring dengan kehendak agama, bangsa dan negara. 

Remaja perlu bijak mengendalikan program hidup, di samping selalu memohon kepada Allah melalui doa atau sembahyang supaya ditunjukkan jalan yang benar dan lurus, jauh daripada terpesong ke jalan yang dibentang oleh musuh-musuh Islam. 

Firman Allah bermaksud: “Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk." (Surah al-Kahfi, ayat 13) 

Tuesday, April 12, 2011

Menangani tekanan kegagalan peperiksaan

Kegagalan memerlukan kita untuk bersabar dan bermuhasabah

Setiap pelajar tentunya mengidamkan kejayaan dalam peperiksaan. Bagi pelajar sekolah, mereka berhadapan dengan peperiksaan umum seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sepanjang tempoh persekolahan.

Bagi pelajar kolej atau universiti, peperiksaan akhir semester adalah salah satu komponen utama dalam penilaian subjek diambil.

Tekanan emosi terhadap peperiksaan boleh berlaku sejak bermulanya persiapan pelajar seperti pada awal tahun sehingga selepas menerima keputusan peperiksaan. Namun cabaran emosi sedemikian boleh disifatkan semakin memuncak ketika tarikh peperiksaan atau tarikh pengumuman keputusan semakin hampir.

Perspektif masyarakat hari ini cenderung melihat pencapaian anak-anak dalam peperiksaan sebagai kayu pengukur kejayaan mereka. Pelajar yang berjaya mendapat seberapa banyak A bakal berasakan harga diri meningkat serta mendapat pengiktirafan daripada keluarga dan masyarakat.

Bagi yang kurang cemerlang pula, mereka mungkin berasa rendah diri atau disisihkan. Akibatnya, mereka mungkin mengalami tekanan perasaan yang amat kuat. Sekiranya tekanan perasaan tersebut tidak dapat dikawal lagi, maka mereka mungkin mengambil tindakan di luar kawalan sebagai cara untuk melepaskan tekanan.

Kita tidak mahu kelak peristiwa pelajar membunuh diri akibat tekanan berkaitan peperiksaan berulang lagi. Persoalannya, bagaimanakah caranya kita membantu para pelajar dalam mengawal emosi agar tindak tanduk mereka sentiasa berada dalam kerangka kewarasan akal fikiran.

Oleh yang demikian adalah amat penting bagi pelajar Muslim mempunyai motivasi yang terbimbing dalam menghadapi cabaran dunia pembelajaran. Dengan memahami konsep menuntut ilmu demi memenuhi tuntutan agama maka kita akan lebih bersemangat serta bertawakal dalam proses pembelajaran kita.

Walau apa pun ganjaran berbentuk kebendaan seperti gred A yang kita inginkan hasil kejayaan kita cemerlang dalam peperiksaan, kita perlu ingat bahawa ganjaran tersebut hanyalah merupakan alat untuk menambah motivasi kita untuk terus berusaha.

Namun matlamat atau niat sebenar kita untuk belajar perlulah dibetulkan iaitu semata-mata kerana Allah. Hadis Rasulullah s.a.w bermaksud, “menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap Muslim”. Maka urusan belajar itu sendiri menjadi ibadah dengan niat dan cara yang betul.

Faktor niat ini juga dapat mempengaruhi cara penerimaan kita terhadap apa jua keputusan yang diterima kelak. Seandainya matlamat utama kita ditetapkan atas dasar gred A semata-mata, apabila kita gagal mencapainya maka kita mungkin akan berasa amat kecewa.

Hal ini mungkin mendorong ke arah perasaan putus harapan atau menyalahkan takdir. Tetapi sikap sedemikian bercanggah dengan apa yang dianjurkan dalam Islam. Islam sebaliknya mengajar umatnya untuk berusaha sebaik mungkin dan bertawakal kepada Allah terhadap hasil yang bakal diterima.

Pada dasarnya segala kurniaan Alah sama ada berbentuk kesenangan atau kesusahan merupakan ujian untuk kita.

Jika kita mendapat nikmat kesenangan adakah kita bersyukur dengan nikmat tersebut atau adakah kita menjadi semakin lalai daripada mengingati Allah? Jika kita mendapat ujian kesusahan adakah kita bersabar dan terus berusaha atau adakah kita berasa keluh kesah dan berputus asa?

Sebagai pelajar, keputusan peperiksaan yang kita terima juga adalah ujian untuk kita. Adakah kita bersyukur kepada Allah, merendah diri dengan keputusan yang cemerlang atau kita mendabik dada, berbangga-bangga serta berasa takbur dengan usaha kita selama ini.

Bagi yang berjaya, kita seharusnya bersyukur atas kejayaan tersebut dan bersimpati terhadap mereka yang kurang berjaya. Kita juga tidak sepatutnya berbangga-bangga atau menunjuk-nunjuk kejayaan tersebut kerana ia boleh menimbulkan rasa sakit hati atau jelik insan lain yang kurang bernasib baik.

Walaupun usaha gigih kita selama ini ternyata membuahkan hasil, namun kita harus sedar bahawa segalanya datang dari Allah. Kejayaan kita juga adalah dengan izin-Nya. Usaha kita hanyalah sebagai sebab kepada kejayaan tersebut.

Walhal dengan usaha yang sebaik mungkin namun Allah menetapkan rezeki kita tidak seperti yang kita harapkan, maka hal tersebut akan berlaku jua. Jalan yang terbaik adalah dengan berasa reda dengan apa jua keputusan yang didapati, kerana Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Perasaan sedih yang dialami bagi mereka yang gagal mencapai matlamat peperiksaan pula adalah satu perkara yang normal. Di sini kesabaran kita menjadi benteng pertahanan daripada kesedihan yang melampau dan keluh kesah.

Dengan memahami bahawa keputusan tersebut sebagai satu ujian serta memerlukan kita untuk bersabar dan bermuhasabah, maka kita akan berasa lebih tenang malah mendapat ganjaran pahala atas kesabaran kita.

Justeru, konsep qada dan qadar perlu difahami oleh para pelajar agar tekanan emosi yang dialami akibat keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan dapat dikawal dan disalurkan kepada cara yang betul.

Ada juga yang tidak ambil kisah akan keputusan yang didapati, namun hal ini juga merupakan satu kerugian kerana tidak mempelajari hikmah serta melakukan muhasabah daripada pencapaian sendiri. Kegagalan mencapai matlamat peperiksaan perlu dilihat sebagai satu maklum balas berkenaan usaha yang kita telah lakukan selama ini.

Peranan Ibu Bapa

Dalam hal ini, para ibu bapa berperanan untuk memberikan kata-kata perangsang kepada anak-anak agar terus berusaha untuk peperiksaan yang akan datang.

Ibu bapa juga perlu menyedari bahawa kepintaran atau kreativiti pelajar bukan sahaja tercermin oleh keupayaan mereka untuk menjawab soalan peperiksaan semata-mata.

Sememangnya terdapat sebilangan anak-anak dengan kurang potensi dalam akademik. Anak-anak sedemikian perlu diterokai dan diasah bakat dan potensi mereka dalam bidang lain yang bermanfaat agar kelak tetap menjadi insan yang berguna.

Selain itu, ibu bapa juga perlu menjadi tempat anak-anak berkongsi permasalahan dalam pelajaran mereka. Peranan sedemikian dapat berlaku dengan adanya suasana yang sihat dalam hubungan kekeluargaan.

*Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa kejayaan dalam peperiksaan adalah penting bagi menjamin masa depan yang lebih cerah serta menjadi tiket melangkah ke tahap pembelajaran yang lebih tinggi.

Namun pada masa yang sama pelajar Muslim perlu memahami kembali tujuan mereka belajar agar dapat sentiasa dihubungkan dengan matlamat hidup sebagai seorang Muslim.

Insya-Allah dengan niat serta kaedah pembelajaran yang betul kita bukan sahaja akan beroleh keputusan yang cemerlang malah mendapat ganjaran pahala serta keberkatan atas usaha kita.









Tuesday, April 5, 2011

Warna Merangsang Kepintaran Pelajar

warna memainkan peranan penting dalam kehidupan



Cahaya merupakan tenaga spektrum yang sangat luas dan boleh dilihat. Mata difokuskan untuk melihat refleks tenaga untuk keperluan sel tubuh. Menurut Pengamal Terapi Getaran Warna, Dr. Norhisham Wahab, frekuensi gelombang warna yang boleh dilihat oleh mata kasar bergetar antara 420 hingga 780 nanometer (nm). "Warna-warna yang tidak dapat dilihat ialah warna ultra-unggu, infra-merah, gamma dan sinar x" beliau menjelas lagi. Warna-warna yang amat laju ini tidak sesuai untuk keperluan kehidupan organisma di muka bumi ini.

Setiap unsur kimia di dalam tubuh dan di atas muka bumi ini mempunyai sifat frekuensi tenaganya sendiri. Frekuensi tenaga ini hanya dapat dikaitkan dengan sifat frekuensi warna. Dalam tubuh manusia, warna memainkan peranan sebagai pengimbang sel untuk penyembuhan. Ini bermakna kita memerlukan warna-warna tertentu untuk hidup dengan harmoni. Menurut beliau lagi, setiap tujuh jenis warna pelangi mempunyai peranannya dalam fungsi tubuh.

Cahaya dan warna ialah sebahagian daripada spektrum elektromagnet yang peka pada mata manusia dan juga meruakan sebahagian darpada spektra tenaga yang membolehkan kelangsungan kehidupan setiap makhluk di planet ini. Cahaya berbeza dari segi warna berpandukan ukuran dan jarak gelombang. Warna terpancar bermula daripada gelombang jarak jauh, ukuran rendah sehingga gelombang jarak pendek, ukuran tinggi.

Bagi seorang pelajar, warna hijau amat diperlukan. Ini kerana hijau merupakan simbol oksigen dan bertindak ke atas organ jantung dan paru-paru. Untuk seorang pelajar berada dalam keseimbangan dan harmoni, warna hijau yang dilihat oleh bebola mata akan dianalisa oleh pineal dan sejenis kimia akan dihasilkan oleh hipotalalmus pada bahagian otak untuk meransang kesimbangan. Ini bermakna, untuk mendapatkan suasana pembelajaran yang selesa, kawasan sekolah mahupun di dalam bilik darjah perlu mempunyai banyak warna hijau.

Walaupun warna hijau itu datangnya daripada cat yang berwarna sedemikian namun keupayaan neuron otak akan turut merangsang organ yang berkaitan untuk bertindakbalas secara positif dengan warna yang dilihat. Kepintaran pelajar banyak bergantung kepada kapasiti oksigen yang diterima pada otak. Inilah yang membuatkan warna hijau perlu menjadi pilihan di kawasan sekolah ataupun kawasan kediaman.

Kawasan sekolah sepatutnya di penuhi dengan pokok-pokok dan bunga-bunga yang berwarna lembut, kerana warna bunga ataupun bangunan yang garang dan terang akan menggangu emosi pelajar dan mendorong pelajar bertindak secara agresif. Guru-guru juga perlu memakai pakaian yang berwarna lembut. Ini kerana warna baju yang dipakai oleh guru akan menjadi tumpuan sewaktu proses pengajaran berjalan. Kadangkala tumpuan pelajar boleh hilang sekiranya warna baju yang dipakai oleh guru tidak disukai oleh pelajar.

Ini menunjukkan wujud gangguan keseimbangan dan sekiranya berterusan akan membabitkan masalah disiplin. Mengapa kita rasakan kita tidak dapat menerima apa yang dipelajari pada waktu-waktu tertentu? Berdasarkan kajian sains fizik yang dijalankan oleh pengamal terapi getaran warna ini, setiap 24 jam waktu siang dan malam, berlaku bertukaran warna sebanyak tujuh kali mengikut warna-warna pelangi.

Seorang pakar psikologi barat mengatakan warna putih mampu meningkat kecerdasan, dan bayi perlu didedahkan sebanyak mungkin dengan warna putih dan warna-warna lembut untuk membolehkan IQnya bertambah secara maksimum. Warna unggu pula mempu mengatasi masalah kurang daya tumpuan di kalangan pelajar. Di samping itu, warna ungu yang disifatkan sebagai gelombang jarak jauh mampu meransang minat pelajar.

Menurut Dr. Norhisham Wahab, pukul 12 tengah malam hingga pukul 1 pagi alam dan segala hidupan diselubungi cahaya putih manakala pukul 1 pagi hingga pukul 2 pagi pula bertukar kepada warna merah jambu. Pada peringkat inilah kepekaan otak adalah pada tahap maksimum. Kita juga dilarang mengulangkaji pelajaran pada waktu-waktu pertukaran kerana pada waktu ini warna infra merah, merah, oren dan kuning akan berlaku dan membuatkan keseimbangan dalam tubuh kita menjadi terganggu. Begitu juga dengan pukul tujuh hingga tujuh setengah petang.

Fenomena gangguan keseimbangan oleh geteran warna-warna tertentu ini boleh dikesan dengan jelas ke atas mereka yang mengalami masalah kesihatan. Misalnya demam, seringkali kita dapati demam akan bertambah teruk apabila tiba waktu-waktu begini. Sememangnya warna banyak memainkan peranan dalam kehidupan kita.

Walaupun kebanyakan kita mempunyai warna kegemaran masing-masing tetapi kita harus mengetahui apakah warna yang memberi kesan negatif dan yang memberi kesan positif dalam kehidupan kita. Warna-warna putih dan lembut sering dikaitkan dengan unsur-unsur positif. Misanya, pelajar sekolah dikehendaki memakai pakaian seragan yang berwarna putih. Walaupun ada yang mengatakan cepat kotor tetapi warna ini sebenarnya mempengaruhi kepintaran dan keseimbangan emosi pelajar. Tetapi sekiranya persekitaran sekolah dipenuhi dengan warna-warna garang maka tidak hairanlah kalau sekolah begini mempunyai masalah disiplin yang teruk.

Bagi mereka yang hendak menjalani sesi temuduga juga dikehendaki mengenai pakaian daripada warna-warna yang lembut. Ini semua berkaitan dengan emosi mereka yang menemuduga dan yang ditemuduga. Daripada pakaian mereka sudah boleh menilai seseorang yang terbabit secara luaran. Begitu juga dengan hospital, jururawat, doktor dan pesakit serta bangunan dan perhiasan dalaman dihias berkonsepkan warna-warna lembut.

Friday, April 1, 2011

Selepas SPM, Mana Halatuju Anda?


Debaran mendapat result SPM sudah terlepas. Saya juga pernah merasai debaran pada ketika ingin mengambil keputusan SPM di sekolah. Begitu mendebarkan sekali. Dan akhirnya, debaran itu hilang begitu sahaja setelah result yang dihulurkan mencapai targetyang ditetapkan.

Saya rasa anda juga pernah merasai perasaan yang sama. Cuma perasaan selepas mengetahui result kita sahaja yang berbeza. Ada yang menangis kegembiraan, ada yang menangis kesedihan dan ada yang blur.

Setelah itu, kita mula mengisi borang untuk menyambung pengajian ke tempat yang lebih tinggi. Sudah semestinya universiti menjadi pilihan utama. Umumnya, pelajar akan mengisi semua surat tawaran yang datang kepadanya. Bila dapat mana-mana tawaran, baru dia akan membuat keputusan samada mahu pergi atau tidak. Jika mendapat lebih daripada satu tawaran untuk ke pusat pengajian, ini akan menimbulkan dilema.

Ada yang ikut kawan-kawan, ada yang disuruh oleh ibu bapa dan ada yang tidak tahu hendak pergi ke mana. Mereka hanya mengikut sahaja kata orang dan kata hati mereka untuk memilih tempat pengajian yang seterusnya.

Saya pernah ditanya oleh junior saya, ke mana harus dia pergi setelah mendapat tawaran? Saya pun tergaru-garu kepala untuk menjawabnya.

Jika anda masih tercari-cari menara gading pilihan anda,apakata,fahami sejenak faktor berikut.





Secara amnya anda perlu:

1. Mempunyai cita-cita yang jelas.

Dengan cita-cita anda akan menentukan hala tuju perjalanan anda untuk meneruskan pengajian. Katakan anda mahu menjadi seorang guru. Terdapat dua pilihan. Ke maktab atau ke universiti? Dua-dua mempunyai kelebihan masing-masing. Contohnya, jika anda lulusan maktab anda akan mengajar di sekolah rendah sahaja, manakala jika anda berkelulusan universiti, anda berpeluang untuk mengajar di sekolah menengah. Tetapi lulusan maktab confirm ada kerja, lulusan universiti belum tentu.

Jika anda ingin menjadi seorang jurutera, agak-agaknya sesuai tak jika anda memohon Kolej Kejururawatan Alor Setar? Tentu tidak bukan.

Buat sesuatu perkerjaan yang anda minat. Maksudnya, pilihlah minat anda dalam menentukan pekerjaan anda kelak. Banyak keburukan dalam jangka masa panjang jika kita tidak mempunyai minat dalam sesuatu yang kita lakukan.

Keburukannya ialah kita akan tertekan dengan kerjaya tersebut dan ini boleh  menyebabkan kita melakukan kerja dengan tidak ikhlas. Hasilnya pun akan tidak memuaskan hati. Tetapi minat itu boleh dipupuk. Minatilah profesion kerjaya pilihan anda, nescaya anda akan suka suatu hari nanti.


2. Keputusan SPM anda.

Jika anda mendapat straight A, saya yakin pihak terbabit akan memproses borang permohonan anda dahulu. Anda akan mudah mendapat tempat di mana-mana kemasukan untuk lepasan SPM. Tetapi, ingat bukan anda seorang sahaja yang mendapat keputusan yang cemerlang. Beribu lagi calon mendapat keputusan yang sama dengan awak. Jadi persaingan untuk mendapat tempat di universiti atau overseas adalah tinggi juga. Jangan terlalu overconfindent yang anda akan berjaya diterima masuk hanya berdasarkan slip spm anda.

Katakan keputusan anda tidak sebagus yang diharapkan, A subjek itu manakala subjek ini B. C pun ada. Untuk mendapat tempat di salah satu pengajian tinggi, anda perlu memilih bidang yang sama dengan subjek yang anda dapat A. Katakan anda A semua subjek sains. Mohonlah ke bahagian biologi, fizik atau kimia mengikut kursus yang ditawarkan. Jangan pula anda mengisi borang permohonan untuk ke kursus pengajian syariah Islam pula. Kantidak kena tu.


3. Kewangan.

Keluarga anda daripada golongan orang yang susah dan tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung yuran pengajian anda. Jadi, anda janganlah demand nak ke IPTS atau hendak ke kolej swasta yang ada artis. Mahal tu. Anda kena fahami masalah ini, dan berbincang dengan keluarga. Seboleh-bolehnya, anda perlu ke pusat pengajian yang yuran pengajian adalah rendah dan milik awam.

Selain itu, ada juga pusat pengajian yang memberi elaun kepada pelajarnya. Saya rasa anda juga tahu bukan? Di pusat pengajian ini anda dibayar sejumlah wang setiap bulan oleh pihak kerajaan.

Antaranya maktab perguruan sebanyak RM450 sebulan, Institut Latihan Industri RM100 sebulan, UPNM sebanyak RM1100 sebulan, matrikulasi sejumlah RM4000 satu semester dan tajaan syarikat atau badan berkanun akan memberi pelajar tajaan masing-masing mengikut kontrak yang telah ditetapkan.



4. Kesihatan dan gender.

Faktor kesihatan juga memainkan peranan yang besar bagi menentukan hala tuju anda. Katakan anda mempunyai penyakit asma dan rabun, mengapa masih ingin membuang masa menghadirkan diri ke temuduga cadet pilot Malaysian Airlines System? Jika anda seorang yang tempang, rasanya pekerjaan tentera tidak sesuai dengan anda.

Sesetengah universiti memerlukan anda menyelitkan data kesihatan diri anda sekiranya anda ingin memohon sesuatu bidang.

Walaupun pada masa kini tiada lagi perbezaan jantina di mana bidang yang sepatutnya dikuasai wanita telah dimonopoli oleh lelaki, begitu juga bidang yang sepatutnya lelaki, ada juga terselit wanita bersama. Walaupun begitu ada juga sesetengah pegurusan yang hanya menerima calon lelaki sahaja untuk mendapat tajaan mereka.

Tambahan lagi, faktor jantina mempengaruhi kelayakan anda untuk bekerja di masa hadapan setelah anda tamat course yang anda ambil. Setelah anda graduate, anda (seorang lelaki) memohon jawatan setiausaha syarikat ABC. Ada lagi seorang calon B (wanita-cun) juga memohon jawatan yang sama. Selain kelayakan, bukankah faktorgender mempengaruhi keputusannya nanti.


5. Kemahiran vs sijil.

Jenis apakah diri anda yang sebenarnya? Semasa bersekolah dahulu anda seorang yang suka menghafal dan mudah memahami teori atau anda seorang pelajar yang gembira apabila kelas amali, anda perform dalam melakukan sesuatu ujikaji dan menguji kemahiran anda? Err, faham ke? Anda seorang yang sangat mudah menghafal dan minat belajar atas buku sahaja. Dan anda memang skor kertas 1 dan kertas 2 subjek sains (teori).

Oleh yang demikian itu, course sebegini mungkin sesuai bagi awak: undang-undang, sejarah, persuratan dan pengurusan. Bagi orang yang minat praktikal, banyak penawaran dalam bidang sebegini: kimpalan, automotif, jurutera,dan jentera mesin.

Sebenarnya, kemahiran dan sijil perakuan ijazah/diploma adalah sama penting. Kebanyakan syarikat memilih calon berdasarkan tiga kriteria: kelayakankemahiran dan bahasa. Banyak juga pusat pengajian yang mementingkan pengkhususan dalam sesuatu kemahiran seperti Akademi Binaan Malaysia, Institut Kemahiran Mara, Politeknik dan Institut Latihan Industri.

Pusat pengajian ini juga menawarkan diploma/ijazah kepada pemohon dan telah diperakui oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Suruhanjaya Akreditasi Malaysia.


6. Penawaran dan peluang di masa hadapan.

Anda juga perlu bijak menganalisis jangka masa pengajian anda dan juga pasaran tempatan/luar negara.

Pengiraan mudah seperti begini, pada zaman 1999, kerajaan melancarkan kempen celik IT di kalangan rakyat. Ramai pelajar jurusan IT mendapat peluang pekerjaan dan ini mempengaruhi calon lain untuk mengambil bidang yang sama. Hasilnya, pasaran menjadi tepu dan ramai lepasan IT menjadi penganggur. 



Kemudian keluar pula khabar menyatakan kekurangan lelaki dalam beberapa sektor seperti kejururawatan, pendidikan dan sektor awam. Hasilnya, ramai pelajar lelaki memohon untuk memasuki bidang berkaitan.

Anda jangan melakukan seperti di atas. Anda perlu analisis dengan bijak. Fikirkan dan fikirkan. Katakan sebagai contoh, program ijazah mengambil masa 5 tahun, apakah dalam 5 tahun lagi ada peluang pekerjaan untukku? Bagaimana dengan persaingan? Bagaimana dengan kelayakan minimum? Anda perlu bijak memilih bidang anda.

Bidang-bidang yang semakin berkembang dan penawaran pasti wujud adalah business, kejuruteraan, komunikasi dan perhubungan. Bidang tidak berkembang tetapi ada kerja adalah seperti pendidikan, perubatan, undang-undang, ketenteraan dan polis.

6 faktor di atas banyak mempengaruhi calon lepasan SPM untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Anda perlu bijak memilih agar tidak menyesal di kemudian hari. Bertanya orang yang berpengalaman adalah kaedah terbaik bagi mendalami minat anda dan mencari tempat pengajian tinggi anda yang seterusnya.


Petua untuk Hati


Istimewa untuk hati yang sedang bersedih, jiwa yang sedang berduka, minda yang sedang berkecamuk, inilah petua terbaik buat mengubat resah dan gundah: 

  • Amalkan tasbih, tahmid dan takbir - Inilah petua yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya Siti Fatimah.
  • Berdoa - Mohonlah kepadaNya. Ingatlah, doa itu senjata bagi orang mukmin.
  • Sibukan diri dengan sesuatu - Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti perbanyakan membaca al-Quran & pelbagai bahan bacaan, terlibat dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya
  • Luahkan perasaan anda - Bermacam cara boleh digunakan untuk meluahkan perasaan. Carilah seseorang yang paling anda percaya (sebaiknya yang ada pertalian darah atau orang yang arif dalam agama), menulis diari atau catatan harian, menulis blog dan sebagainya

  • Senyum - Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati