Tuesday, August 28, 2012

UPSR tidak ditangguh


Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran semalam menegaskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini tidak ditangguhkan dan akan berlangsung mengikut jadual sedia ada. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkata peperiksaan UPSR akan diadakan pada 11 hingga 13 September ini seperti yang ditetapkan dalam takwim kementerian.
Berita mengenai penangguhan tidak benar kerana UPSR tetap ikut jadual iaitu 11, 12 dan 13 September” - Abd Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran
Beliau sekali gus menafikan khabar angin yang mencetuskan kekecohan dalam kalangan ramai ibu bapa dan calon bahawa peperiksaan itu ditangguhkan atas sebab tertentu.

Hanya khabar angin

“Berita berkenaan (penangguhan) tidak benar. UPSR tetap seperti jadual, iaitu 11, 12 dan 13 September,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada BH.

Khabar angin mengenai penangguhan peperiksaan UPSR tahun ini dipercayai berpunca daripada pelbagai dakwaan, antara lain untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan berlaku kebocoran kertas soalan di negeri tertentu. 
Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, berkata kertas soalan untuk peperiksaan UPSR tahun ini sudah disimpan dalam bilik kebal setiap negeri.

Persiapan berjalan lancar

Justeru, katanya, sebarang penangguhan UPSR akan menyebabkan ‘pertembungan’ penggunaan bilik kebal itu untuk menyimpan kertas soalan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dijadualkan bermula pada 9 Oktober depan.

Katanya, semua persiapan akhir sedang dibuat, termasuk pihak sekolah merancang mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin dalam waktu terdekat. 

“Justeru, ibu bapa dan calon dinasihati tidak terpengaruh dengan khabar angin itu, sebaliknya memfokus kepada persediaan mental dan emosi untuk menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi,” katanya.


Sunday, August 26, 2012

Cip cegah ponteng sekolah

Shahril  menunjukan  alat pengesan SchoolTrac  bagi atasi kes ponteng. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Shahril menunjukan alat pengesan SchoolTrac bagi atasi kes ponteng. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sekolah dan ibu bapa kini tidak perlu bimbang pelajar ponteng sekolah jika menggunakan produk Schooltrac yang akan mengirim maklumat pergerakan murid dan anak mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel. Menerusi sistem itu, murid akan dibekalkan dengan kad pelajar SchoolTrac menggunakan frekuensi radio yang mampu mengesan pergerakan keluar masuk murid melalui pagar sekolah ketika waktu persekolahan. 
Sistem dalam talian 

Kad Schooltrac mengandungi cip dan disambungkan serta dipantau terus ke pusat data sekolah untuk memaklumkan guru dan penjaga mengenai status kehadiran pelajar menerusi emel atau SMS.

Produk itu diperkenalkan di negara ini oleh sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) tempatan, ABRA Corp Sdn Bhd yang menggunakan sistem dalam talian. Ia dapat memantau status kehadiran pelajar,selain merekodkan kehadiran pelajar di sekolah.

Pengarah Projek ABRA Corp, Mohd Shahril Mahmud, berkata ibu bapa akan menerima SMS atau e-mel daripada pusat data setiap kali pelajar memasuki atau keluar dari sekolah pada masa sebenar dalam tempoh satu atau dua saat. 
Katanya, ibu bapa hanya perlu membayar yuran bulanan RM10 bagi mendapatkan perkhidmatan itu di sekolah yang melanggan aplikasi berkenaan.

Setakat ini, 20 sekolah sekitar Lembah Klang bekerjasama dengan ABRA Corp untuk menggunakan peranti SchoolTrac.

“SchoolTrac juga alat yang boleh mengurangkan penggunaan kertas kerana semua maklumat kehadiran dicatatkan secara automatik dalam komputer menerusi pancaran sistem produk berkenaan.

“Ia menggunakan teknologi Korea tetapi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilaksanakan di Malaysia oleh ABRA Corp sendiri,” katanya. 

Mohd Shahril berkata, pada masa ini pihaknya sedang berunding dengan Kementerian Pelajaran untuk menggunakan SchoolTrac di semua sekolah di seluruh negara.

“Kami mengharapkan SchoolTrac akan terus berkembang menerusi kerjasama dengan kementerian,” katanya. 

ABRA Corp menetapkan sasaran langganan di sebanyak 200 sekolah di Lembah Klang dalam tempoh setahun.

INFO Schooltrac
Peranti pengesan pelajar
Berbentuk kad pelajar
Atasi masalah ponteng sekolah
Yuran bulanan RM10 untuk ibu bapa
Pemasangan percuma untuk sekolah.



Friday, August 17, 2012

Budak ‘otak kalkulator’ ingin masuk universiti

He's got the X=Y factor: Yasha, appropriately sitting in front of a picture of Einstein, has achieved another excellent grade

LEICESTER: Ketika ramai remaja belasan tahun gementar apabila menduduki peperiksaan matematik A Level, Yasha Asley menyifatkannya sebagai amat senang dan dia hanya berusia tujuh tahun.

Kini, kanak-kanak yang berbakat luar biasa itu memperoleh kelulusan tertingggi ketiga peperiksaan A Level, pada usia 10 tahun. 
Yasha, yang didakwa gurunya memiliki ‘otak seperti kalkulator, mencatatkan markah A* dalam subjek Statistik dan berharap untuk memasuki universiti. 

Dia sebelum ini lulus subjek Matematik, juga dengan markah A* dan A dalam Matematik Tulen. Dia lulus kedua-dua subjek itu ketika berusia lapan tahun.


Asley menjadi orang paling muda di dunia mendapat gred A dalam Matematik, dengan mencatatkan 100 peratus dan 99 peratus dalam dua daripada enam kertas yang didudukinya dua tahun lalu.


Kanak-kanak dari Leicester itu berkata, dia tidak gementar ketika menduduki peperiksaan kertas Statistik tahun ini. 

“Saya membuka kertas soalan, lihat soalan pertama dan mula menulis jawapan. 
“Saya tidak gementar. Saya mungkin merasa lebih selesa berbanding pelajar lain,” katanya. 

Bapanya, Moussa Asley, warga Iran berusia 49 tahun, membesarkan anaknya sendirian selepas bercerai dengan isteri. 

“Ia mengesahkan jangkaan saya. Saya gembira dan bangga. 

“Dia langsung tidak bekerja keras. Dia hanya melakukannya pada tahap minimum. Dia memang dilahirkan berbakat,” kata Moussa. - DM


Tuesday, August 14, 2012

Keputusan SPM ulangan Khamis ini


KUALA LUMPUR - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 akan dikeluarkan Khamis ini. 

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan. 

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara. - Bernama


Thursday, August 9, 2012

Keputusan kemasukan ke IPTA lepasan STPM, matrikulasi, asasi boleh disemak esok


KUALA LUMPUR - Keputusan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam bagi program lepasan Sijil Tinggi Persekolahan, matrikulasi dan asasi untuk calon yang tidak ditawarkan dalam pemilihan awal, boleh diketahui esok mulai 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa berkata calon boleh mendapatkan maklumat itu melalui hotline 03-8870 6767, helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau laman web http://upu.mohe.gov.my. http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my dan http://jpt.ums.edu.my.

Semakan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip UPU RESULT (no kad pengenalan) dan hantar ke 15888, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata calon yang terpilih merupakan calon yang tidak mendapat tawaran ke IPTA dalam pemilihan awal kerana tidak bersetuju ditawarkan program
pengajian luar pilihan, dan melibatkan mereka yang mendapat PNGK 2.8 ke atas.

"Proses pemilihan dilaksanakan mengikut pilihan calon atau rayuan, atau pilihan bidang calon, atau mengikut program pengajian yang mempunyai kekosongan
dan bersesuaian dengan bidang pilihan calon," katanya.

Beliau berkata keputusan tawaran ini adalah muktamad dan calon tidak dibenar mengemukakan rayuan terhadap tawaran itu.

Calon yang berjaya akan mendaftar pada 1 dan 2 Sept, dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi di talian 03-8870 6767 atau 03-8870 6777, katanya. - Bernama