Friday, June 7, 2013

Pelajar dilarang pakai coli berkancing besi

Foto


Beijing: Langkah keselamatan luar biasa diambil untuk memastikan tiada penipuan berlaku ketika sembilan juta pelajar menduduki peperiksaan kemasukan universiti di seluruh China.

Peperiksaan yang bermula semalam menyaksikan pihak berkuasa pendidikan turut melarang pelajar memakai coli berkancing besi. 
Di wilayah timur laut Jilin, pelajar dilarang memakai pakaian ada besi di dalamnya. 

Pihak berkuasa pendidikan memasang alat di pusat peperiksaan untuk mengesan ‘alat penipuan tanpa wayar’, lapor akhbar Global Times.

Pelajar guna telefon pintar

Pihak berkuasa berhati-hati mengenai kemungkinan calon menggunakan alat seperti telefon pintar yang lebih kecil dan mudah untuk disembunyikan sebagai alat bantuan ketika ujian berlangsung.

Seramai 9.12 juta pelajar sekolah tinggi berdaftar di seluruh China untuk menduduki peperiksaan penting selama dua hari yang dipanggil ‘gaokao’, menurut laporan yang memetik Kementerian Pendidikan. 
Pihak berkuasa berusaha membanteras penjualan alat berteknologi tinggi bertujuan menipu dalam peperiksaan itu, lapor Global Times.

Ada juga langkah yang diambil bertujuan memastikan pelajar tiba di pusat peperiksaan tepat pada masanya dianggap keterlaluan.

Antara gambar yang dikirimkan di internet menunjukkan kereta bomba juga digunakan untuk menghantar seorang pelajar berpakaian seragam ke pusat peperiksaan di sebuah kawasan pedalaman Mongolia.

Bandar Guangzhou pula memperkenalkan laluan khas kenderaan yang membawa pelajar ke pusat peperiksaan, lapor media tempatan. - AFP


Tuesday, June 4, 2013

Pelajar gagal dapat kerja kerana terlalu hodoh


Ben Cronin


Ben Cronin yang mendakwa dirinya gagal mendapat pekerjaan semasa cuti panas kerana dianggap terlalu hodoh.

CAMBRIDGE - Seorang pelajar mendakwa dirinya gagal mendapat pekerjaan semasa cuti panas kerana dianggap terlalu hodoh.

Pelajar psikologi, Ben Cronin, 20 berhasrat untuk bekerja sementara semasa cuti musim panas di bot terkenal Cambridge tetapi kakitangan di sana memberitahunya rupa parasnya tidak cukup menarik untuk bekerja di sana.

Cronin, yang baru saja tamat tahun pertamanya di Anlia Ruskin, University of Cambridge itu berharap, dia mampu membiayai pengajian tahun keduanya dengan bekerja sementara dalam cuti.

“Saya cuba bertanya jika ada kerja kosong di bot pelancong itu, tetapi pekerja bot memandang saya dari atas ke bawah lalu ketawa. Mereka kemudian berkata, “kamu tidak layak bekerja di sini,”,

“Saya berasa cukup terhina dan merasakan kata-katanya itu melampau dan memalukan diri saya. Apa kena mengena kerja itu dengan rupa paras saya?,” kata Cronin.

Syarikat bot itu bagaimanapun menafikan kriteria yang diambil untuk bekerja mementingkan rupa paras.

Pengurus Besar, Rod Ingersent berkata, pihaknya tidak menyokong kata-kata anak buah syarikatnya kepada Cronin kerana selama ini, mereka mengambil pekerja berdasarkan kriteria kerja dan merit individu.