Wednesday, January 30, 2013

Jumlah calon lulus STAM 2012 meningkat


PUTRAJAYA - Sebanyak 3,925 atau 67.4 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran, Dr. Na'imah Ishak berkata, ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 3,420 calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus pada tahun 2011.

Beliau berkata, 385 calon mendapat Mumtaz (cemerlang), 1,263 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik), 1,868 calon mendapat Jayyid (baik) dan 409 lagi Maqbul (lulus).

Sebanyak 5,818 calon menduduki STAM tahun lepas di 116 pusat peperiksaan seluruh negara.

"Secara keseluruhan, pencapaian calon STAM menunjukkan peningkatan sebanyak 0.08 mata, iaitu daripada indeks Gred Purata Nasional (GPN) 3,08 mata pada tahun 2011 kepada 3.16 mata pada tahun 2012," katanya ketika mengumumkan keputusan STAM 2012 di sini semalam.

STAM mula dilaksanakan sejak tahun 2000 dan mendapat pengiktirafan setaraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), melayakkan calon yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.




No comments:

Post a Comment