Friday, April 1, 2011

Selepas SPM, Mana Halatuju Anda?


Debaran mendapat result SPM sudah terlepas. Saya juga pernah merasai debaran pada ketika ingin mengambil keputusan SPM di sekolah. Begitu mendebarkan sekali. Dan akhirnya, debaran itu hilang begitu sahaja setelah result yang dihulurkan mencapai targetyang ditetapkan.

Saya rasa anda juga pernah merasai perasaan yang sama. Cuma perasaan selepas mengetahui result kita sahaja yang berbeza. Ada yang menangis kegembiraan, ada yang menangis kesedihan dan ada yang blur.

Setelah itu, kita mula mengisi borang untuk menyambung pengajian ke tempat yang lebih tinggi. Sudah semestinya universiti menjadi pilihan utama. Umumnya, pelajar akan mengisi semua surat tawaran yang datang kepadanya. Bila dapat mana-mana tawaran, baru dia akan membuat keputusan samada mahu pergi atau tidak. Jika mendapat lebih daripada satu tawaran untuk ke pusat pengajian, ini akan menimbulkan dilema.

Ada yang ikut kawan-kawan, ada yang disuruh oleh ibu bapa dan ada yang tidak tahu hendak pergi ke mana. Mereka hanya mengikut sahaja kata orang dan kata hati mereka untuk memilih tempat pengajian yang seterusnya.

Saya pernah ditanya oleh junior saya, ke mana harus dia pergi setelah mendapat tawaran? Saya pun tergaru-garu kepala untuk menjawabnya.

Jika anda masih tercari-cari menara gading pilihan anda,apakata,fahami sejenak faktor berikut.





Secara amnya anda perlu:

1. Mempunyai cita-cita yang jelas.

Dengan cita-cita anda akan menentukan hala tuju perjalanan anda untuk meneruskan pengajian. Katakan anda mahu menjadi seorang guru. Terdapat dua pilihan. Ke maktab atau ke universiti? Dua-dua mempunyai kelebihan masing-masing. Contohnya, jika anda lulusan maktab anda akan mengajar di sekolah rendah sahaja, manakala jika anda berkelulusan universiti, anda berpeluang untuk mengajar di sekolah menengah. Tetapi lulusan maktab confirm ada kerja, lulusan universiti belum tentu.

Jika anda ingin menjadi seorang jurutera, agak-agaknya sesuai tak jika anda memohon Kolej Kejururawatan Alor Setar? Tentu tidak bukan.

Buat sesuatu perkerjaan yang anda minat. Maksudnya, pilihlah minat anda dalam menentukan pekerjaan anda kelak. Banyak keburukan dalam jangka masa panjang jika kita tidak mempunyai minat dalam sesuatu yang kita lakukan.

Keburukannya ialah kita akan tertekan dengan kerjaya tersebut dan ini boleh  menyebabkan kita melakukan kerja dengan tidak ikhlas. Hasilnya pun akan tidak memuaskan hati. Tetapi minat itu boleh dipupuk. Minatilah profesion kerjaya pilihan anda, nescaya anda akan suka suatu hari nanti.


2. Keputusan SPM anda.

Jika anda mendapat straight A, saya yakin pihak terbabit akan memproses borang permohonan anda dahulu. Anda akan mudah mendapat tempat di mana-mana kemasukan untuk lepasan SPM. Tetapi, ingat bukan anda seorang sahaja yang mendapat keputusan yang cemerlang. Beribu lagi calon mendapat keputusan yang sama dengan awak. Jadi persaingan untuk mendapat tempat di universiti atau overseas adalah tinggi juga. Jangan terlalu overconfindent yang anda akan berjaya diterima masuk hanya berdasarkan slip spm anda.

Katakan keputusan anda tidak sebagus yang diharapkan, A subjek itu manakala subjek ini B. C pun ada. Untuk mendapat tempat di salah satu pengajian tinggi, anda perlu memilih bidang yang sama dengan subjek yang anda dapat A. Katakan anda A semua subjek sains. Mohonlah ke bahagian biologi, fizik atau kimia mengikut kursus yang ditawarkan. Jangan pula anda mengisi borang permohonan untuk ke kursus pengajian syariah Islam pula. Kantidak kena tu.


3. Kewangan.

Keluarga anda daripada golongan orang yang susah dan tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung yuran pengajian anda. Jadi, anda janganlah demand nak ke IPTS atau hendak ke kolej swasta yang ada artis. Mahal tu. Anda kena fahami masalah ini, dan berbincang dengan keluarga. Seboleh-bolehnya, anda perlu ke pusat pengajian yang yuran pengajian adalah rendah dan milik awam.

Selain itu, ada juga pusat pengajian yang memberi elaun kepada pelajarnya. Saya rasa anda juga tahu bukan? Di pusat pengajian ini anda dibayar sejumlah wang setiap bulan oleh pihak kerajaan.

Antaranya maktab perguruan sebanyak RM450 sebulan, Institut Latihan Industri RM100 sebulan, UPNM sebanyak RM1100 sebulan, matrikulasi sejumlah RM4000 satu semester dan tajaan syarikat atau badan berkanun akan memberi pelajar tajaan masing-masing mengikut kontrak yang telah ditetapkan.



4. Kesihatan dan gender.

Faktor kesihatan juga memainkan peranan yang besar bagi menentukan hala tuju anda. Katakan anda mempunyai penyakit asma dan rabun, mengapa masih ingin membuang masa menghadirkan diri ke temuduga cadet pilot Malaysian Airlines System? Jika anda seorang yang tempang, rasanya pekerjaan tentera tidak sesuai dengan anda.

Sesetengah universiti memerlukan anda menyelitkan data kesihatan diri anda sekiranya anda ingin memohon sesuatu bidang.

Walaupun pada masa kini tiada lagi perbezaan jantina di mana bidang yang sepatutnya dikuasai wanita telah dimonopoli oleh lelaki, begitu juga bidang yang sepatutnya lelaki, ada juga terselit wanita bersama. Walaupun begitu ada juga sesetengah pegurusan yang hanya menerima calon lelaki sahaja untuk mendapat tajaan mereka.

Tambahan lagi, faktor jantina mempengaruhi kelayakan anda untuk bekerja di masa hadapan setelah anda tamat course yang anda ambil. Setelah anda graduate, anda (seorang lelaki) memohon jawatan setiausaha syarikat ABC. Ada lagi seorang calon B (wanita-cun) juga memohon jawatan yang sama. Selain kelayakan, bukankah faktorgender mempengaruhi keputusannya nanti.


5. Kemahiran vs sijil.

Jenis apakah diri anda yang sebenarnya? Semasa bersekolah dahulu anda seorang yang suka menghafal dan mudah memahami teori atau anda seorang pelajar yang gembira apabila kelas amali, anda perform dalam melakukan sesuatu ujikaji dan menguji kemahiran anda? Err, faham ke? Anda seorang yang sangat mudah menghafal dan minat belajar atas buku sahaja. Dan anda memang skor kertas 1 dan kertas 2 subjek sains (teori).

Oleh yang demikian itu, course sebegini mungkin sesuai bagi awak: undang-undang, sejarah, persuratan dan pengurusan. Bagi orang yang minat praktikal, banyak penawaran dalam bidang sebegini: kimpalan, automotif, jurutera,dan jentera mesin.

Sebenarnya, kemahiran dan sijil perakuan ijazah/diploma adalah sama penting. Kebanyakan syarikat memilih calon berdasarkan tiga kriteria: kelayakankemahiran dan bahasa. Banyak juga pusat pengajian yang mementingkan pengkhususan dalam sesuatu kemahiran seperti Akademi Binaan Malaysia, Institut Kemahiran Mara, Politeknik dan Institut Latihan Industri.

Pusat pengajian ini juga menawarkan diploma/ijazah kepada pemohon dan telah diperakui oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Suruhanjaya Akreditasi Malaysia.


6. Penawaran dan peluang di masa hadapan.

Anda juga perlu bijak menganalisis jangka masa pengajian anda dan juga pasaran tempatan/luar negara.

Pengiraan mudah seperti begini, pada zaman 1999, kerajaan melancarkan kempen celik IT di kalangan rakyat. Ramai pelajar jurusan IT mendapat peluang pekerjaan dan ini mempengaruhi calon lain untuk mengambil bidang yang sama. Hasilnya, pasaran menjadi tepu dan ramai lepasan IT menjadi penganggur. 



Kemudian keluar pula khabar menyatakan kekurangan lelaki dalam beberapa sektor seperti kejururawatan, pendidikan dan sektor awam. Hasilnya, ramai pelajar lelaki memohon untuk memasuki bidang berkaitan.

Anda jangan melakukan seperti di atas. Anda perlu analisis dengan bijak. Fikirkan dan fikirkan. Katakan sebagai contoh, program ijazah mengambil masa 5 tahun, apakah dalam 5 tahun lagi ada peluang pekerjaan untukku? Bagaimana dengan persaingan? Bagaimana dengan kelayakan minimum? Anda perlu bijak memilih bidang anda.

Bidang-bidang yang semakin berkembang dan penawaran pasti wujud adalah business, kejuruteraan, komunikasi dan perhubungan. Bidang tidak berkembang tetapi ada kerja adalah seperti pendidikan, perubatan, undang-undang, ketenteraan dan polis.

6 faktor di atas banyak mempengaruhi calon lepasan SPM untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Anda perlu bijak memilih agar tidak menyesal di kemudian hari. Bertanya orang yang berpengalaman adalah kaedah terbaik bagi mendalami minat anda dan mencari tempat pengajian tinggi anda yang seterusnya.


1 comment:

  1. semoga....sedikit sebanyak artikel ini boleh memberi panduan,gambaran dan petunjuk kepada adik2 yg telah ambil keputusan SPM.

    ReplyDelete