Thursday, March 8, 2012

Kesusahan ibu bapa jadi perangsang

 

KUALA KLAWANG - Tindakan seorang calon peperiksaan Sijil Tinggi Perse­kolahan Malaysia (STPM) menjadikan kesusahan ibu bapa mencari rezeki bagi menghantarnya ke sekolah sebagai perangsang untuk berjaya berbaloi apabila mendapat keputusan cemerlang.

Malah kejayaan itu juga lebih bermakna apabila dia menjadi satu-satunya pelajar yang mendapat keputusan cemerlang sejak peperiksaan tersebut diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebang­saan (SMK) Datuk Undang Musa Al-Haj (DUMA).

Mohamad Helmi Ramli, 20, berkata, bapanya, Ramli Abu Bakar, 50, bekerja sebagai peneroka di Felda Lui Selatan, manakala ibunya, Irnawati Mohd Amin, 48 hanya suri rumah sepenuh masa.

“Ibu bapa saya banyak memberi galakan dan melihat keadaan mereka yang susah menjadikan saya lebih bermotivasi untuk belajar,” katanya yang menggemari mata pelajaran Bahasa Melayu.

Anak kedua dari empat beradik ini bertindak menukar aliran mata pelajaran dari sains tulen kepada sastera berikutan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang memberangsangkan.

Mohamad Helmi berkata, tindakannya untuk tinggal di asrama banyak memberi kelebihan kerana pengurusan masa ditentukan oleh warden.

“Di asrama saya berpeluang mengadakan belajar bersama rakan-rakan, menghadiri kelas tambahan, kelas kerohanian dan kursus motivasi. Saya tidak menyangka akan mendapat 4A dalam STPM meskipun semasa peperiksaan percubaan saya mendapat keputusan sama,” katanya.

Dia berkata, soalan peperiksaan percubaan lebih mudah daripada peperiksaan sebenar.

“Malah pada peperiksaan sebenar topik yang menjadi sasaran saya tidak banyak yang keluar,” katanya.

Katanya, dia bercita-cita untuk menjadi guru dan bercadang menyambung pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Bahasa Melayu.

“Terima kasih diucapkan kepada guru, rakan-rakan dan warden asrama yang banyak membantu saya selama ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment