Thursday, September 12, 2013

Keputusan rayuan ke IPTA boleh disemak esok


KUALA LUMPUR - Keputusan rayuan permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf (Ijazah Pertama) boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari esok.     


Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Morshidi Sirat berkata, calon boleh membuat semakan keputusan di http://upu.mohe.gov.my, http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my  dan http://jpt.ums.edu.my.

Beliau berkata, mereka juga boleh menyemak keputusan rayuan ke IPTA dengan menghubungi Hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau menerusi khidmat pesanan ringkas dengan menaip UPU RESULT [Nombor kad pengenalan] dan hantar ke 15888.

"Calon juga boleh membuat semakan tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi menerusi laman web rasmi IPTA berkaitan mulai esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Morshidi berkata, Kementerian Pendidikan tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil dalam pengurusan pemilihan kes rayuan ke IPTA.  

Beliau berkata, semua pengurusan pengambilan diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar,  Jabatan Pengajian Tinggi dengan mengguna pakai dasar, prosedur serta kriteria pemilihan yang ditetapkan kementerian.

"Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baharu di IPTA," katanya.

Beliau berkata keputusan rayuan adalah muktamad, sekiranya tiada sebarang tawaran diterima daripada IPTA sehingga 30 Sept, maka rayuan hendaklah dianggap gagal. - Bernama

Friday, June 7, 2013

Pelajar dilarang pakai coli berkancing besi

Foto


Beijing: Langkah keselamatan luar biasa diambil untuk memastikan tiada penipuan berlaku ketika sembilan juta pelajar menduduki peperiksaan kemasukan universiti di seluruh China.

Peperiksaan yang bermula semalam menyaksikan pihak berkuasa pendidikan turut melarang pelajar memakai coli berkancing besi. 
Di wilayah timur laut Jilin, pelajar dilarang memakai pakaian ada besi di dalamnya. 

Pihak berkuasa pendidikan memasang alat di pusat peperiksaan untuk mengesan ‘alat penipuan tanpa wayar’, lapor akhbar Global Times.

Pelajar guna telefon pintar

Pihak berkuasa berhati-hati mengenai kemungkinan calon menggunakan alat seperti telefon pintar yang lebih kecil dan mudah untuk disembunyikan sebagai alat bantuan ketika ujian berlangsung.

Seramai 9.12 juta pelajar sekolah tinggi berdaftar di seluruh China untuk menduduki peperiksaan penting selama dua hari yang dipanggil ‘gaokao’, menurut laporan yang memetik Kementerian Pendidikan. 
Pihak berkuasa berusaha membanteras penjualan alat berteknologi tinggi bertujuan menipu dalam peperiksaan itu, lapor Global Times.

Ada juga langkah yang diambil bertujuan memastikan pelajar tiba di pusat peperiksaan tepat pada masanya dianggap keterlaluan.

Antara gambar yang dikirimkan di internet menunjukkan kereta bomba juga digunakan untuk menghantar seorang pelajar berpakaian seragam ke pusat peperiksaan di sebuah kawasan pedalaman Mongolia.

Bandar Guangzhou pula memperkenalkan laluan khas kenderaan yang membawa pelajar ke pusat peperiksaan, lapor media tempatan. - AFP


Tuesday, June 4, 2013

Pelajar gagal dapat kerja kerana terlalu hodoh


Ben Cronin


Ben Cronin yang mendakwa dirinya gagal mendapat pekerjaan semasa cuti panas kerana dianggap terlalu hodoh.

CAMBRIDGE - Seorang pelajar mendakwa dirinya gagal mendapat pekerjaan semasa cuti panas kerana dianggap terlalu hodoh.

Pelajar psikologi, Ben Cronin, 20 berhasrat untuk bekerja sementara semasa cuti musim panas di bot terkenal Cambridge tetapi kakitangan di sana memberitahunya rupa parasnya tidak cukup menarik untuk bekerja di sana.

Cronin, yang baru saja tamat tahun pertamanya di Anlia Ruskin, University of Cambridge itu berharap, dia mampu membiayai pengajian tahun keduanya dengan bekerja sementara dalam cuti.

“Saya cuba bertanya jika ada kerja kosong di bot pelancong itu, tetapi pekerja bot memandang saya dari atas ke bawah lalu ketawa. Mereka kemudian berkata, “kamu tidak layak bekerja di sini,”,

“Saya berasa cukup terhina dan merasakan kata-katanya itu melampau dan memalukan diri saya. Apa kena mengena kerja itu dengan rupa paras saya?,” kata Cronin.

Syarikat bot itu bagaimanapun menafikan kriteria yang diambil untuk bekerja mementingkan rupa paras.

Pengurus Besar, Rod Ingersent berkata, pihaknya tidak menyokong kata-kata anak buah syarikatnya kepada Cronin kerana selama ini, mereka mengambil pekerja berdasarkan kriteria kerja dan merit individu.

Friday, May 31, 2013

Pengetua sekolah tunai janji menari ala Gangnam Style

Pengetua sekolah tunai janji menari ala Gangnam Style
Jeff Hughes menari Gangnam Style untuk memotivasi pelajar-pelajarnya.


WARRINGTON - Pengetua Sekolah Menengah Penketh, Jeff Hughes, berjanji kepada pelajar-pelajarnya untuk tampil dengan gaya tarian popular Gangnam  Style pada majlis akhir tahun sekiranya mereka mencapai sasaran dalam pelajaran.

Menurut Hughes, beliau ingin meningkatkan motivasi pelajarnya supaya bekerja keras.

Penketh merupakan sekolah yang mempunyai pengkhususan terhadap matapelajaran media dan seni visual.

"Janji tersebut dibuat sebelum sambutan Krismas lalu dan kami (para guru) mahu memberikan nasihat yang boleh memotivasi pelajar.

"Saya kemudian berkata, 'jika anda mencapai sasaran maka saya akan melakukan tarian Gangnam Style pada majlis akhir tahun," katanya.

Huges menambah,"....dan memandangkan kami guru yang mengkhususkan pada media, jadi mengapa tidak kita buat video muzik yang lengkap?"

Ketika majlis akhir tahun semalam, Hughes, 58 tahun tampil di atas pentas berpakaian seperti penyanyi popular dari Korea, Psy dan menari ala Gangnam Style.

Penampilannya itu nyata memukau pelajar-pelajarnya.

Beliau kemudiannya berhenti menari dan berkata, "Itu belum semuanya."

Tim media kemudian menayangkan muzik video yang memperlihatkan beliau bersama 50 guru menari ala Gangnam Style.

Video itu juga dimuatnaik ke YouTube dan sejam pertama sudah ditonton oleh 110.000 orang.

Sebelum ini, sekolah berkenaan telah mendapat tekanan dari badan pengawas sekolah Ofsted untuk mencapai sasaran dalam pencapaian pelajar-pelajarnya.

"Saya kira yang penting kami mengembangkan hubungan yang kuat dengan kaum muda.

"Kami harus membuat mereka melihat bahwa kita adalah manusia dan saya kira sedikit lega kerana boleh melepaskan tekanan dan ketegangan," katanya.

Sunday, April 21, 2013

Membuat Peta Minda Mudah Dengan MindMaple

MindMaple merupakan perisian yang membolehkan pengguna membuat peta minda dengan mudah. Bagi mereka yang suka membuat peta minda melalui komputer, MindMaple altenatif yang berguna yang akan menyediakan pelbagai fungsi yang membolehkan pengguna membuat peta minda dengan mudah.

MindMaple terdapat dalam versi percuma dan PRO dan ia juga membawakan antaramuka yang mudah menyerupai Microsoft Office 2007/2010/2013.



pengguna boleh menyimpan ia dalam bentuk gambar (JPEG, PNG, GIF, dan lain-lain), dan juga dalam bentuk dokumen (DOC, PPT, HTML), sekaligus memudahkan ia untuk dimasukkan pada dokumen anda yang lain sama ada di komputer mahupun pada web.









Sunday, April 14, 2013

TIP SERONOK BELAJAR DALAM KELAS

Tip Belajar
    
    Mempunyai matlamat yang jelas
Daripada penelitian yang dilakukan, kebanyakan pelajar yang cepat berasa bosan belajar di dalam kelas disebabkan mereka tidak tahu apa yang mereka mahu capai. Kesannya, mereka belajar seperti ‘melepas batuk di tangga’. Mulai sekarang, katakan pada diri sendiri, ‘Dengan izin Tuhan, saya yakin dan percaya 5A dalam peperiksaan UPSR pasti menjadi milik saya. Saya nampak slip keputusan peperiksaan yang bakal saya peroleh tercatat semua A.” 

Berkenalan dengan rakan-rakan sekelas
Tanamkan dalam diri adik-adik bahawa rakan-rakan sekelas adalah seperti adik beradik sendiri. Oleh itu, berkenal-kenalanlah dengan rakan-rakan sekelas. Dengan cara ini, perasaan saling mempercayai akan timbul dan akan mewujudkan persaingan yang sihat untuk berjaya.

Membina hubungan yang baik dengan guru
Guru merupakan individu yang bertanggungjawab untuk membimbing adik-adik belajar. Oleh itu, binalah hubungan yang baik dengan guru agar segala ilmu yang dicurahkan diberkati. Seterusnya, menggapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. 

Menjadi pendengar yang baik
Salah satu kemahiran belajar di dalam kelas yang perlu adik-adik kuasai ialah kemahiran mendengar. Dengan menjadi pendengar yang baik, adik-adik dapat memahami pelajaran yang guru sampaikan dengan berkesan. Sekaligus memudahkan adik-adik mengingat isi pelajaran tersebut.

Tidak malu untuk bertanya
Jika terdapat sebarang persoalan yang timbul sewaktu guru mengajar, terus ajukan soalan tersebut kepada guru. Mungkin juga persoalan itu akan menjadi soalan peperiksaan nanti. Oleh itu, jangan malu untuk bertanya! 

Keluarkan pendapat
Sekiranya guru memberi peluang untuk mengeluarkan pendapat sewaktu beliau mengajar, jangan malu atau segan untuk mengeluarkan pendapat adik-adik.  Sekurang-kurangnya pendapat adik-adik dapat dikongsikan dengan rakan-rakan sekelas. Istilah ‘malu’ tidak wujud. Bukankah rakan-rakan sekelas diibaratkan seperti adik-beradik sendiri? 

Melibatkan diri dengan aktiviti kelas
Pembelajaran di dalam kelas akan lebih seronok sekiranya aktiviti yang guru adakan disertai oleh pelajarpelajar. Oleh itu, libatkan diri secara aktif dengan aktiviti  pembelajaran yang guru adakan. Contohnya, perbincangan kumpulan dan kerja amali. Cara ini sebenarnya, dapat mengukuhkan pemahaman dan ingatan adik-adik terhadap sesuatu pelajaran. 

Akhir sekali, “Amal jangan tidak amal petua ini. Dengan izin Tuhan, seronok belajar di dalam kelas dan tiada istilah bosan belajar.” 


Thursday, March 28, 2013

Pelajar 17 tahun jadi jutawan

D’ALOISIO menunjukkan aplikasi Summly di London 

LONDON – Seorang pelajar sekolah di sini, Nick D’Aloisio yang berusia 17 tahun menjual satu aplikasi bagi membolehkan teks berita dapat dibaca menerusi telefon bimbit kepada syarikat Yahoo! dalam urus niaga yang dianggarkan sebuah akhbar bernilai sehingga AS$60 juta (RM184.1 juta).

Aplikasi itu akan membolehkan D’Aloisio menjadi salah seorang jutawan termuda di dunia.

Ia dicipta pada November 2012.

Syarikat Yahoo! tidak mendedahkan perjanjian urus niaga itu tetapi akhbar London Evening Standard menyatakan Yahoo! akan membayar antara AS$30 juta (RM92.05) hingga AS$60 juta (RM184.1 juta).

Menurut syarikat itu menerusi satu kenyataan bahawa ia teruja untuk memiliki Summly yang memudahkan maklumat diperoleh dengan pantas, mudah dan ringkas.

Ketika berusia 15 tahun, D’Aloisio mencipta aplikasi Summly di rumahnya di sini.

Syarikat Yahoo! menyatakan, D’Aloisio dan pasukan Summly akan menyertai syarikat itu dalam tempoh beberapa minggu lagi.

D’Aloisio membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan: “@Summly telah menandatangani satu perjanjian untuk dimiliki Yahoo!

“Teruja untuk memulakan babak baharu Summly!

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada saya.”

Akhbar London Evening Standard menyatakan, D’Aloisio pada mulanya mencipta aplikasi itu sebagai hobi.

“Saya tidak menyedari ia boleh menghasilkan wang,” kata D’Aloisio.

Ketika ditanya tentang pendapatannya yang besar ekoran pembelian syarikatnya, D’Aloisio berkata” “Saya suka kasut. Saya akan membeli sepasang kasut Nike dan saya mungkin memperoleh sebuah komputer baharu.

“Namun, buat masa kini, saya hanya mahu menyimpan wang itu di bank.

“Saya tidak perlu untuk banyak berbelanja.”

D’Aloisio belajar kod komputer semasa berumur 12 tahun selepas Stor Aplikasi Apple dilancarkan.

Dia kemudian mencipta beberapa aplikasi termasuk Facemood yang merupakan perkhidmatan yang menganalisis sentimen bagi menentukan mood para pengguna Facebook.

Pelajar itu juga pernah mencipta aplikasi perkhidmatan mencari muzik, SongStumblr.

D’Aloisio turut memberikan nasihat kepada beberapa remaja iaitu: “Jika anda mempunyai idea yang baik atau anda terdapat satu ruang kosong di dalam pasaran, terokailah dan lancarkannya kerana terdapat beberapa pelabur di seluruh dunia kini yang mencari syarikat-syarikat untuk membuat pelaburan.” – Agensi