Sunday, April 14, 2013

TIP SERONOK BELAJAR DALAM KELAS

Tip Belajar
    
    Mempunyai matlamat yang jelas
Daripada penelitian yang dilakukan, kebanyakan pelajar yang cepat berasa bosan belajar di dalam kelas disebabkan mereka tidak tahu apa yang mereka mahu capai. Kesannya, mereka belajar seperti ‘melepas batuk di tangga’. Mulai sekarang, katakan pada diri sendiri, ‘Dengan izin Tuhan, saya yakin dan percaya 5A dalam peperiksaan UPSR pasti menjadi milik saya. Saya nampak slip keputusan peperiksaan yang bakal saya peroleh tercatat semua A.” 

Berkenalan dengan rakan-rakan sekelas
Tanamkan dalam diri adik-adik bahawa rakan-rakan sekelas adalah seperti adik beradik sendiri. Oleh itu, berkenal-kenalanlah dengan rakan-rakan sekelas. Dengan cara ini, perasaan saling mempercayai akan timbul dan akan mewujudkan persaingan yang sihat untuk berjaya.

Membina hubungan yang baik dengan guru
Guru merupakan individu yang bertanggungjawab untuk membimbing adik-adik belajar. Oleh itu, binalah hubungan yang baik dengan guru agar segala ilmu yang dicurahkan diberkati. Seterusnya, menggapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. 

Menjadi pendengar yang baik
Salah satu kemahiran belajar di dalam kelas yang perlu adik-adik kuasai ialah kemahiran mendengar. Dengan menjadi pendengar yang baik, adik-adik dapat memahami pelajaran yang guru sampaikan dengan berkesan. Sekaligus memudahkan adik-adik mengingat isi pelajaran tersebut.

Tidak malu untuk bertanya
Jika terdapat sebarang persoalan yang timbul sewaktu guru mengajar, terus ajukan soalan tersebut kepada guru. Mungkin juga persoalan itu akan menjadi soalan peperiksaan nanti. Oleh itu, jangan malu untuk bertanya! 

Keluarkan pendapat
Sekiranya guru memberi peluang untuk mengeluarkan pendapat sewaktu beliau mengajar, jangan malu atau segan untuk mengeluarkan pendapat adik-adik.  Sekurang-kurangnya pendapat adik-adik dapat dikongsikan dengan rakan-rakan sekelas. Istilah ‘malu’ tidak wujud. Bukankah rakan-rakan sekelas diibaratkan seperti adik-beradik sendiri? 

Melibatkan diri dengan aktiviti kelas
Pembelajaran di dalam kelas akan lebih seronok sekiranya aktiviti yang guru adakan disertai oleh pelajarpelajar. Oleh itu, libatkan diri secara aktif dengan aktiviti  pembelajaran yang guru adakan. Contohnya, perbincangan kumpulan dan kerja amali. Cara ini sebenarnya, dapat mengukuhkan pemahaman dan ingatan adik-adik terhadap sesuatu pelajaran. 

Akhir sekali, “Amal jangan tidak amal petua ini. Dengan izin Tuhan, seronok belajar di dalam kelas dan tiada istilah bosan belajar.” 


No comments:

Post a Comment