Friday, February 1, 2013

'Tak sanggup lihat bapa susah'

'Tak sanggup lihat bapa susah'
Muhamad Aizat (tiga kiri) dan Nur Syazana (dua, kanan) bersama rakan-rakan bersama Pengetua, Hashim Embong selepas mengambil keputusan yang diumumkan 

KUALA TERENGGANU - "Saya nekad untuk mengubah nasib keluarga dan tidak sanggup lagi melihat bapa bersusah payah memerah keringat bekerja sebagai buruh kuari,” kata  Muhamad Aizat Aizani Azman, 20, dari Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu.

Muhammad Aizat adalah pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abidin, yang merupakan seorang daripada empat pelajar negeri ini yang mendapat gred cemerlang (Muntaz) untuk semua 10 mata pelajaran dalam peperiksaan STAM 2012.

Muhammad Aizat berkata, walaupun kedua ibu bapanya, Azman Mohamad, 38, dan Rashidah Ismail, 38, tidak berpelajaran tinggi namun mereka amat mementingkan pelajaran dan sentiasa memberi galakan agar dia belajar bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu serta menjadi teladan kepada dua adiknya.

“Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik supaya mereka juga dapat membanggakan kedua ibu bapa yang selama ini bekerja keras untuk menanggung persekolahan kami dengan gaji sebanyak RM1,200 sebulan.

“Saya berjanji akan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh selepas ini seterusnya mendapatkan pekerjaan yang baik untuk membalas jasa orang tua,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di SMAAZA kelmarin.

Muhamad Aizat berkata, dia juga tidak menjangka akan memperoleh keputusan itu kerana hanya mendapat gred cemerlang dalam lapan mata pelajaran pada peperiksaan percubaan Ogos tahun lalu.

“Kejayaan saya ini dapat menebus kekecewaan kerana gagal mendapat 10 gred cemerlang dalam peperiksaan percubaan dan 6A sahaja dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin di universiti dalam negara.

Sementara itu, rakannya, Nur Syazana Apandi, 19, dari Mengabang Telipot berkata, kejayaannya hari ini adalah hadiah paling bermakna untuk kedua ibu bapanya yang mengharapkan agar seorang daripada lapan anaknya mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang agama.

Nur Syazana berkata, dia mula belajar bersungguh-sungguh sejak dari Tingkatan Empat Sanawi dengan menyediakan jadual pembelajaran sendiri dan mengamalkan membaca al-Quran serta solat Hajat.

“Walaupun tinggal di asrama, saya mempunyai jadual sendiri dan tegas mengikutinya. Selain itu, saya tidak lupa menjadikan zikir dan al-Quran sebagai amalan seharian kerana ia mempunyai banyak keajaiban,” katanya.

Nur Syazana berkata, sebulan sebelum peperiksaan dia hanya tidur antara tiga hingga empat jam sehari, manakala masa selebihnya digunakan untuk mengulang kaji pelajaran, solat Tahajud, solat Hajat dan membaca al-Quran.

“Biasanya, saya akan tidur sekejap selepas solat Isyak dan bangun pada jam 2 pagi untuk mengerjakan solat Tahajud atau solat Hajat diikuti mengulang kaji sementara menanti waktu Subuh,” katanya berhasrat melanjutkan pelajaran di Mesir dalam
bidang Usuluddin.



No comments:

Post a Comment