Thursday, July 12, 2012

Status kemasukan ke UTM boleh disemak esok


JOHOR BAHRU - Calon lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang memohon untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) boleh menyemak status permohonan mereka mulai 12 tengah hari esok.
Bahagian Pengurusan Akademik, Pejabat Pendaftar UTM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata calon boleh menyemak status permohonan dan mencetak surat tawaran itu di laman web rasmi iaitu UTM www.jpt.utm.my.
Calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh tujuh hari selepas surat tawaran rasmi dikeluarkan dan pengesahan boleh dibuat melalui laman web yang sama.
Menurut kenyataan tersebut, tarikh pendaftaran pelajar baru ke Program Sarjana Muda UTM ialah pada 2 Sept di Kampus UTM, Johor Baharu dan Kampus UTM Kuala Lumpur.

Manakala bagi calon yang tidak berjaya pula mereka boleh membuat rayuan melalui Aplikasi e-Rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi dikeluarkan melalui laman webhttp://upu.mohe.gov.my.

Katanya jika tiada sebarang tawaran yang diterima daripada UTM sehingga 30 September ini, rayuan tersebut dianggap tidak berjaya.
Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi Unit Kemasukan dan Rekod, Pejabat Pendaftar, UTM melalui e-mail azhara@utm.my, hnoraishah@utm.my, suhaimib@utm.my atau  azrulmusa@utm.my.
Pemohon juga boleh menghubungi talian hotline 03-88706767, helpline 03-88706777 atau talian am 03-88706755/6766 atau melawat laman web http://upu.mohe.gov.my, http://jpt.uum.edu.my, http://jpt.unimas.edu.my dan http://jpt.ums.edu.my.
Status permohonan juga boleh diketahui melalui sistem pesanan ringkas dengan menaip UPU RESULT (No. Kad Pengenalan) dan hantarkan ke 15888.
Untuk sesi kemasukan ekademik 2012/2013 kali ini, UTM turut menawarkan dua kursus pengajian baru iaitu Sarjana Kejuruteraan (Nuklear) dan Sarjana Muda Sains Seni Bina. - Bernama


Wednesday, July 11, 2012

Keputusan permohonan ke IPTA sesi akademik 2012/2013 diketahui Jumaat


KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf bagi sesi akademik 2012/2013 akan diumumkan Jumaat ini.

Pemangku Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Ismail Nor Hassan Basri berkata calon yang memohon boleh menyemak keputusan permohonan mulai pukul 12 tengah hari.

"Pemohon boleh menyemak permohonan mereka menerusi tiga saluran utama iaitu laman sesawang KPT; talian bantuan (Helpline), talian hotline; dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. 

Calon boleh menyemak menerusi laman web http:upu.mohe.gov.my atau di talian hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777 dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS); UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

Menurut laman sesawang KPT, keputusan kemasukan permohonan akan dikeluarkan pada minggu kedua bulan Julai tetapi tiada sebarang tarikh dinyatakan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa menafikan berlakunya kelewatan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA.

"Keputusan bukan lambat. Memang 13 Julai telah ditetapkan. Keputusan belum boleh disemak, belum dimasukkan ke dalam sistem. Pemilihan akhir oleh universiti sedang berlangsung," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama. - Bernama


Friday, June 29, 2012

Pelajar kita pelari obor Olimpik

AHMAD Aiman membawa obor Sukan Olimpik 2012 di Nottingham, semalam.
AHMAD Aiman membawa obor Sukan Olimpik 2012 di Nottingham, semalam.


NOTTINGHAM: Semalam adalah hari bersejarah bagi Ahmad Aiman Asmayatim, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, ketika menyambut obor dalam larian obor Sukan Olimpik 2012 di sini.

Dia antara 20 anak muda dari 20 negara yang dipilih dalam larian berkenaan dengan kumpulannya adalah yang kedua membuat larian di sepanjang jalan di Nottingham menuju pusat bandar.

Orang ramai berkumpul di sepanjang jalan memberi tepukan dan sorakan dalam suasana karnival serta berakhir dengan persembahan di pusat bandar ini. Kumpulan Aiman termasuk wakil dari Pakistan, Azerbaijan, Zambia dan Brazil.


"Saya tak pernah bayangkan akan terbabit dalam acara Olimpik ini. - Ahmad Aiman Asmayatim, Pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman
“Perasaan seronok, tak tahu apa nak kata. Seperti sudah berada di puncak. Saya tak pernah bayangkan akan terbabit dalam acara Olimpik ini,” kata Aiman selepas larian itu.

Aiman, 16, dipilih sebagai pembawa obor Olimpik menerusi Program International Inspiration berikutan pembabitan aktifnya dalam program kepemimpinan sukan di sekolah.

Namun, tidak mudah baginya untuk menjadi pelari pembawa obor. Dia terpaksa melalui beberapa peringkat tapisan dan ditemuduga oleh British Council, di Malaysia sebelum dipilih.

Teing Tai Chee, guru Sekolah Menengah (J) Kebangsaan Shing Chung yang menjadi pengiring Aiman, berkata sifat kepemimpinan pelajar itu memang terserlah, bijak berkomunikasi serta kelihatan sangat matang.

Aiman yang bercita-cita menjadi penyiasat adalah penolong kapten pasukan bahas Bahasa Melayu sekolahnya. Dia mempunyai cara pemikiran kritikal dan analitikal yang membantu kejayaan pasukannya.

Aiman akan pulang membawa seribu kenangan yang akan memberi dorongan kepadanya untuk terbabit dalam aktiviti memupuk perpaduan antara kaum di seluruh dunia.
“Saya tak tahu apa perasaan ibu bapa, tetapi nenek kata saya membanggakan keluarga dengan pembabitan dalam Olimpik ini,” katanya.

Walaupun Aiman hanya akan mengikuti acara Olimpik menerusi televisyen, dia mendoakan kejayaan atlit Malaysia kelak. “Berjuanglah bersungguh-sungguh demi negara dan harap kita bawa balik pingat tahun ini,” katanya yang berlepas pulang, malam tadi.


Monday, May 28, 2012

Pelajar pintar selesaikan teori Sir Isaac Newton

Shouryya
Shouryya kini bergelar budak pintar selepas merungkai teori Sir Isaac Newton


BERLIN - Teka-teki dibuat oleh Sir Isaac Newton sehingga merunsingkan dunia matematik sejak lebih 350 tahun lalu, akhirnya dirungkaikan oleh seorang remaja berumur 16 tahun di Dresden, Jerman.

Shouryya Ray, berjaya menyelesaikan dua teori dinamik zarah asas yang sebelum ini hanya dapat dihitung dengan menggunakan komputer berkuasa tinggi oleh ahli fizik.

Hasil penyelesaian Shouryya membuka peluang kepada saintis untuk menghitung laluan balingan bola dan kemudian meramal bagaimana ia akan menghentam serta melantun dari dinding ke dinding.

Anak kelahiran Kolkata, India, menyelesaikan permasalahan rumit itu, ketika menyertai lawatan sekolah di Universiti Dresden yang mana gagal dirungkaikan oleh profesor di situ.

Kebijaksanaan Shouryya dikesan sejak dia mula memasuki persekolahan di Dresden empat tahun lalu selepas berpindah dari Kolkata.


Monday, May 7, 2012

Status permohonan ke IPTA bagi lepasan SPM boleh disemak mulai hari ini


KUALA LUMPUR - Status keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya boleh diketahui mulai hari ini.

Keputusan permohoan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pula boleh diketahui mulai 12 tengah hari esok, demikian menurut kenyataan akhbar ketiga-tiga universiti itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

Semakan boleh dilakukan melalui laman web http://www.um.edu.my/kemasukan, http://www.ukm.my/kemasukan/tawaran dan http://www.smp.upm.edu.my/tawaran bagi program Asasi Sains, Asasi Pengajian Islam  di UM, program Asasi Pintar di UKM dan program Asasi Sains Pertanian dan diploma di UPM.

Calon yang berjaya boleh menyemak maklumat tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) masing-masing untuk membuat pengesahan dalam tempoh tujuh hari bekerja bermula esok hingga 15 Mei ini.

Tarikh pendaftaran penuntut baru ke program Asasi Pintar UKM adalah pada 23 Mei bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi, program Asasi Sains dan Asasi Pengajian Islam UM pada 27 Mei, manakala program Asasi Sains Pertanian pada 17 Mei di UPM, Serdang dan diploma pada 7 Jun di UPM, Kampus Bintulu.

Bagi calon yang gagal, mereka boleh mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 18 Mei dan keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua Jun 2012.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Seksyen Kemasukan dan Rekod, Bahagian Akademik, UM di talian 03-79673448/3440/3502, Bahagian Pengurusan Akademik UKM di talian 03-89215336/5041/4126 atau Pusat PERMATA Pintar Negara ditalian 03-89216265/7507 dan Bahagian Akademik UPM di talian 03-89466059/6060/6056. - Bernama




Tuesday, April 10, 2012

Kerajaan tawar Bursary (dermasiswa) kepada 1,609 lepasan cemerlang SPM 2011





KUALA LUMPUR - Semua 1,609 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 9 A+ hingga 12 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 ditawarkan "bursary" (bantuan kewangan pengajian) secara automatik untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan atau prauniversiti dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan kewangan itu disediakan Kementerian Pelajaran untuk pengajian di peringkat prauniversiti sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tawaran bantuan kewangan pengajian kepada 1,020 pelajar yang memperoleh 9A+, 492 pelajar 10A+, 90 pelajar 11 A+ dan tujuh pelajar 12 A+ adalah secara automatik tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang itu adalah tanda keprihatinan kerajaan mengiktiraf kecemerlangan pelajar berkenaan.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan cemerlang tetapi tidak berjaya mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan cemerlang.

"Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan daripada segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, bagi pengambilan tahun ini, kerajaan membelanjakan sejumlah RM2.12 bilion untuk membiayai kos keseluruhan pengajian pelajar di universiti dalam dan luar negara.

Beliau berkata, program prauniversiti dalam negara yang ditawarkan bantuan kewangan ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Program Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang menjurus kepada pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) tertentu di dalam negara dan International Baccalaurate (IB) atau A-Level.

Namun, katanya bagi kemasukan ke IPT awam dalam negara kelayakan IB dan A-Level terhad kepada bidang selain daripada bidang kompetitif membabitkan perubatan, pergigian dan farmasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemberian bantuan kewangan itu tertakluk kepada pelajar telah ditawarkan atau ditempatkan di pusat persediaan ditetapkan kerajaan di mana semakan dan pengemaskinian profil pelajar Program Bursary boleh dibuat di www.moe.gov.my mulai 16 April ini.

Muhyiddin berkata bagi mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) program ijazah luar negara bermula 2014, pelajar lepasan Program Bursary perlu mencapai sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan setara di peringkat persediaan. - Bernama



Tuesday, March 27, 2012

Biasiswa untuk lepasan SPM, STPM

Raja Azura 

PETALING JAYA – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan) melalui program sulungnya, Peneraju Tunas Potensi, menyediakan biasiswa kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Sehubungan itu, lepasan SPM dan STPM digalakkan mengambil peluang ini yang terbuka kepada 100 pelajar menepati syarat kelayakannya iaitu Bumiputera, keputusan SPM, 5A ke atas dan bagi STPM, 2A ke atas, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pendapatan isi rumah bagi keluarga, RM3,000 ke bawah.

Objektif Peneraju Tunas Potensi adalah memastikan pelajar mendapat peluang pendidikan berdasarkan keperluan pembangunan individu.

Ketua Eksekutifnya, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, Peneraju Tunas Potensi menyediakan biasiswa pelbagai bidang, terutamanya kursus membawa kepada bidang kerja berpendapatan tinggi.

Katanya, seiring dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, iltizam mempertingkat bilangan Bumiputera yang dapat berdaya saing di peringkat pengajian bertaraf global.

“Matlamat Peneraju Tunas Potensi adalah membangunkan dan membentuk modal insan daripada persekitaran yang mencabar.

“Justeru, potensi diri golongan pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dapat digilap seterusnya dibantu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi serta mendapat pekerjaan kelak,” katanya.

Menurut Raja Azura, penekanan diberikan kepada golongan kurang berkemampuan, namun tidak terhad hanya di luar bandar sahaja.

Menerusi program ini katanya, pelajar mendapat tajaan sepenuhnya untuk melanjutkan pengajian dan pelajar akan ditempatkan di institusi menawarkan program seperti A-Levels dan International Baccalaurate serta universiti yang terpilih dengan program pembangunan berstruktur untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah.

Mereka yang ingin memohon boleh melayari www.penerajuedu.com untuk maklumat lanjut.

Permohonan dibuka mulai sekarang sehingga 6 April 2012.

Sebelum ini, pada pelancaran Transformasi Ekonomi Bumiputera, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Yayasan menyasarkan pembiayaan 12,000 pelajar dalam tempoh lima tahun ini.

Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada pembiayaan kursus latihan dan profesional bagi tenaga kerja bumiputera untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman kerja.

Yayasan, yang bakal meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan Bumiputera menyasarkan dana berjumlah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

Setakat hari ini, Yayasan mendapat bantuan sokongan bernilai RM158 juta dari 21 buah syarikat dan institusi.

Antara syarikat yang memberi sumbangan besar kepada dana yayasan itu adalah CIMB Group Holdings, Felda Holdings, Maybank, Management Science University, University of Nottingham, Kumpulan Sapura, Sime Darby, Telekom Malaysia, UEM Group dan Yayasan Al-Bukhary, yang masing-masing menyumbang RM10 juta.