Monday, March 18, 2013

47,884 lulus, 18 calon dapat 5A dalam STPM 2012

calon STPM
Calon STPM dari Sekolah Menengah Green Road di Kuching meraikan kejayaan setelah mendapat keputusan cemerlang 4A dalam STPM yang diumumkan hari ini. 

KUALA LUMPUR - Seramai 47,884 atau 92.67 peratus calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 berbanding 46,705 calon (92.19 peratus) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata daripada  jumlah itu, sebanyak 2,709 calon atau 5.24 peratus lulus penuh dalam lima mata pelajaran manakala calon yang lulus dalam empat mata pelajaran berjumlah 21,779 calon (42.15 peratus).

"Seramai 10,029 calon (19.41 peratus) lagi lulus penuh tiga mata pelajaran, 7,299 calon (14.13  peratus) lulus penuh dua mata pelajaran dan 6,068 calon (11.47 peratus) lulus penuh satu mata  pelajaran.

"Jumlah calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran telah meningkat sebanyak 1,253 calon, iaitu daripada 23,246 calon (45.89 peratus) pada tahun 2011 kepada 24,488 calon  (47.39 peratus) bagi tahun lepas," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2012 di sini, hari ini.

Mengenai prestasi pelajar, Mohd Noh berkata 18 calon telah mencapai keputusan cemerlang Gred A  dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding 12 calon pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu katanya, tujuh calon adalah pelajar aliran sains dan 11 lagi dari aliran  sastera.

Bilangan calon yang mengambil lima mata pelajaran dan mendapat empat Gred A pula adalah  sebanyak 53 calon manakala bilangan calon yang mengambil empat mata pelajaran dan mendapat empat Gred A  adalah sebanyak 379 calon.

Beliau berkata pada umumnya, prestasi calon tahun 2012 adalah lebih baik berbanding tahun  sebelumnya, di mana min Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) negara meningkat kepada 2.24 daripada 2.22  pada 2011.

Pada 2012, seramai 442 calon (0.86 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 300 calon (0.59  peratus) pada tahun sebelumnya, iaitu meningkat sebanyak 142 calon.

Seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan itu tahun lepas. 

Mohd Noh berkata jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara apabila  prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar, di mana bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 1,105 (13.53 peratus) berbanding hanya 170 calon (9.20  peratus) luar bandar.

Katanya bilangan calon bandar aliran sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 392  (14.85 peratus) berbanding hanya lapan (6.4 peratus) calon luar bandar.

Sementara bilangan calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah seramai  713 calon (12.90 peratus) berbanding hanya 162 calon (9.24 peratus) luar bandar.

Daripada segi prestasi sekolah, beliau berkata sekolah kerajaan menunjukkan peningkatan  berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu min PNGK sekolah kerajaan pada tahun 2012 ialah 2.33 berbanding  2.29 pada 2011.

Pada tahun 2012, sebanyak 59 buah sekolah mencapai min PNGK 2.8 atau lebih tinggi berbanding 52  sekolah pada tahun sebelumnya dan 47 sekolah pada 2010, katanya.

Peningkatan sebanyak 1,253 juga berlaku dalam jumlah calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran iaitu 23,683 calon (49.64 peratus) bagi tahun lepas  berbanding 22,430 calon (47.84 peratus) pada tahun 2011.

Mohd Noh berkata berdasarkan prestasi calon mengikut mata pelajaran, didapati enam mata pelajaran meningkat prestasinya iaitu Further Mathematics T (71.43 peratus), Bahasa Cina (69.34  peratus), Ekonomi (59.19 peratus), Syariah (76.43 peratus), Sejarah (64.18 peratus) dan Geografi (70.21  peratus) berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 15 mata pelajaran yang lain pula dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza  peratusan calon yang lulus penuh antara tahun 2011 dan tahun sebelumnya kurang daripada dua peratus.

"Pada 2012, dua mata pelajaran iaitu Bahasa Arab dan Literature in English pula menurun  prestasinya berbanding dengan STPM 2011," katanya.

Daripada segi penggunaan Bahasa Inggeris dalam jawapan calon bagi tujuh mata pelajaran iaitu  Mathematics S, Mathematics T, Further Mathematics T, Computing, Fizik, Kimia dan Biologi, Mohd Noh berkata 98.13 peratus (25,503) calon telah menjawab soalan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun  lalu berbanding 98.11 peratus (25,993) pada tahun sebelumnya.

Mengumumkan mengenai prestasi calon Malaysian University English Test (MUET) sesi November  2012, beliau berkata pada keseluruhannya berlaku peningkatan terhadap prestasi calon iatu sebanyak  36.22 peratus calon telah mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding 23.94 peratus pada sesi Julai  tahun lepas.

Pada majlis itu, Mohd Noh turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil  penghargaan dan sebuah plak kepada 18 pelajar cemerlang STPM, dua anugerah kepada pelajar cemerlang istimewa. 

Anugerah turut disampaikan kepada pelajar cemerlang luar bandar dan dua calon cemerlang MUET bagi tahun 2012, masing-masing bagi calon Terbaik MUET Mac 2012 dan calon Terbaik MUET November 2012.

Sementara itu, Mohd Noh turut mengumumkan bahawa keputusan peperiksaan Penggal Satu STPM 2013 akan dikeluarkan pada Khamis ini bermula pukul 12 tengah hari.

"Semua calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan melalui portal MPM di www.mpm.edu.my atau  melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) di talian 15888," katanya. - Bernama






Friday, March 15, 2013

Keputusan SPM diumum Khamis ini


KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diumum pada Khamis ini, dan calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari berkenaan. 

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, keputusan calon persendirian akan dimaklum melalui pos. 
Calon SPM 2012 juga boleh menyemak keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SPM jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888. 

"Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada Khamis ini, dan akan ditamatkan pada 11.59 malam 27 Mac," katanya. 

Sementara itu, pengumuman analisis keputusan SPM akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di Putrajaya pada 9 pagi hari yang sama. 

Peperiksaan bertulis SPM diadakan dari 5 November hingga 6 Disember tahun lalu dengan seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,590 pusat di seluruh negara. - BERNAMA 


Tablet pengganti buku teks di AS

Tablet pengganti buku teks di AS
Beberapa pelajar di McAllen Memorial High School di Texas menggunakan iPad semasa di dalam kelas

Tablet pengganti buku teks di AS
Penggunaan iPad di dalam bilik darjah dikatakan dapat menarik minat dan memperbaiki cara pembelajaran mereka

Tablet pengganti buku teks di AS
Bahan untuk subjek Sains untuk pelajar gred enam yang disediakan oleh buku teks digital di bawah program Discovery Education


WASHINGTON -  Buku teks merupakan bahan penting  dalam proses pengajaran di sekolah.

Bagaimanapun, pelajar di Amerika Syarikat (AS) kini didedahkan dengan alat bantu mengajar yang lebih canggih dan ringan.

Kebanyakan sekolah kini menggunakan iPad sebagai cara untuk menarik minat pelajar dalam kelas, ganjaran terhadap pencapaian cemerlang mereka selain dapat mengurangkan kos.

Ketua program pendidikan tablet di bawah News Corp, Joel Klein berkata, pihak sekolah mesti mengambil peluang untuk menggunakan teknologi itu untuk memperkasakan guru dan memperbaiki cara pembelajaran murid.

“Menerusi  kaedah ini, ia dapat mengubah corak pembelajaran dengan membantu guru mengendalikan bilik darjah dan memberi arahan lebih mudah kepada murid atau pelajar mereka, “ kata bekas pengetua sebuah sekolah di New York itu lagi.

Minggu lalu, News Corp telah memperkenalkan komputer tablet Amplify berharga AS$299 (RM930) dengan skrin paparan  10 inci di  persidangan South by Soutwest  di Austin, Texas.

Ia dilengkapi sistem tanpa wayar,  perisian untuk guru memantau aktiviti setiap pelajar, menawarkan tinjauan segera dan menyediakan kuiz bagi menguji tahap kefahaman mereka.

Pada masa ini, kira-kira 2,000 sekolah telah bekerjasama dengan syarikat enjin carian internet gergasi, Google untuk menggunakan komputer riba, Chromebook  yang ditawarkan dengan harga serendah AS$199 (RM619).

Dianggarkan 20 juta pelajar dan guru telah menggunakan Chromebook sebagai alat bantuan belajar mereka.

Kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Pew dan American Life Project mendapati lebih 40 peratus pelajar atau guru menggunakan komputer tablet dalam Projek Penulisan Nasional di sekolah masing-masing.   

Pengarah Bersekutu untuk Pusat Penyelidikan Pew, Kristen Purcell memberitahu, empat daripada 10 responden menyatakan mereka sudah menggunakan tablet.

“Bagaimanapun, enam daripada 10 responden pula menyatakan mereka belum lagi didedahkan dengan alat teknologi itu. Perkara tersebut tidak menjadi satu masalah kerana masih ada banyak masa untuk memperkenalkan alat bantuan mengajar itu ke semua sekolah di seluruh negara,” jelasnya dalam laporan AP

Dalam masa beberapa tahun lagi, penggunaan tablet di sekolah pasti akan terus meningkat.

Komputer tablet dicadangkan untuk menggantikan buku teks kerana kos penggunaan alat teknologi itu dikatakan hanya berjumlah AS$100 juta (RM311 juta) setahun.

Bulan lalu, sekolah di Los Angeles telah memperuntukkan AS$50 juta (RM156 juta) untuk membeli tablet bagi setiap pelajar mereka dan projek tersebut dijangka menelan kos AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Pada tahun lalu, sekolah di McAllen, Texas mengedarkan komputer  tablet Apple yang melibatkan kos AS$20.5 juta (RM63.8 juta).

Sebuah sekolah lain di Austin turut membuat pelaburan besar sebanyak AS$1.2 juta (RM3.7 juta) dengan mengedarkan lebih 2,000 iPad kepada semua pelajar mereka termasuk kanak-kanak tadika .

Pelatih guru di bawah program Discovery Education itu, Scott Kinney berkata, cabaran terbesar melaksanakan projek tersebut adalah untuk mengemas kini  bahan pengajaran paling terbaru.

Kelebihan utama untuk menggunakan buku teks digital itu ialah pelajar juga dapat menukar fungsi bahasa.

Sebagai contoh, pelajar yang sedang membuat kerja rumah bersama ibu bapa mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris boleh menukar ke bahasa ibunda mereka.

Kelebihan lain buku teks digital tersebut adalah ia hanya menelan kos antara AS$38 (RM118) dan AS$55 (RM171) untuk setiap pelajar bagi tempoh langganan selama enam tahun berbanding AS$70 (RM218) jika menggunakan buku teks biasa.

Sehingga kini, setengah juta pelajar telah menggunakan program Discovery Education di 35 negeri di AS.

Tetapi, teknologi tersebut dikatakan tidak menjamin kejayaan sepenuhnya.

“Jika guru tidak dilatih menggunakan teknologi itu, ia jelas tidak membawa sebarang perbezaan,” kata guru komputer di Sekolah Sains Orlando, Mevlut Kaya .

Di bawah program itu, iPad akan ditawarkan kepada pelajar yang berjaya memperoleh pencapaian purata nilai gred 3.5.

Bagaimanapun, Sekolah Swasta Avenues di New York memberikan iPad dan MacBook Air kepada setiap pelajarnya.

Pihak sekolah tidak menyediakan buku teks kerana  kebanyakan guru akan memberi bahan bacaan dan kerja rumah menerusi rangkaian tanpa wayar di sekolah.

Walaupun golongan pelajar kini didedahkan dengan pelbagai alat teknologi canggih, pengkritik mula mempersoalkan keberkesanannya kerana ia mungkin tidak bermakna jika guru sendiri tidak tahu untuk menggunakannya.



Tuesday, March 12, 2013

Keputusan STPM diumum Isnin depan


KUALA LUMPUR - Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 akan diumumkan Isnin depan (18 Mac).

Menurut kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai 12 tengah hari manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT <jarak> No.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari, hari yang sama.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada pada 12 tengah hari, hari yang sama di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Pada 2012, seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan STPM di 760 pusat pemeriksaan pada 2012 dan daripada jumlah itu, 47,708 adalah calon sekolah kerajaan, 1,112 calon sekolah swasta, 2,795 calon persendirian dan 58 calon sekolah kerajaan negeri.

Sementara itu, calon yang menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2013 boleh menyemak keputusan mereka dengan melayari laman web MPM atau menghantar SMS pada 21 Mac ini. - Bernama






Friday, March 8, 2013

BI mungkin subjek wajib SPM 2016

Muhyiddin Yassin



PORT DICKSON - Bahasa Inggeris berkemungkinan besar akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)bermula 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
   
Timbalan perdana menteri yang juga menteri pelajaran berkata langkah ini seiring dengan pelaksanaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
   
Katanya perkara itu sedang diperhalus Kementerian Pelajaran dan pelaksanaannya kelak diharap akan menurunkan peratusan pelajar yang gagal mata pelajaran berkenaan dalam SPM.
   
"Kalau ikut kurikulum yang sedia ada, ada lebih kurang 20 peratus pelajar kita yang gagal bahasa Inggeris, tapi saya yakin bila kita perkenalkan syarat wajib ini maka peratusan itu akan menurun.
   
"Lebih-lebih lagi kalau kita dapati pelajar itu perlukan 'intervensi' kerana mereka lemah dalam pembelajaran bahasa Inggeris, kita boleh tokok dengan menyediakan program tuisyen (dan) memberikan tumpuan pada pelajar lemah.
   
"Dan mungkin akan diadakan kelas tambahan kalau sekiranya dianggap perlu di sekolah-sekolah yang terpilih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Memperkukuhn Literasi dan Penguasaan Bahasa Inggeris' peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
   
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu (fasa persediaan) (2012-2015), gelombang kedua (pelaksanaan)(2016-2020) dan gelombang ketiga (pentaksiran) (2021-2025).
   
Muhyiddin berkata dalam gelombang pertama pelan berkenaan, kementerian akan melatih seramai 61,000 guru bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah.
  
"Bagi memastikan tahap penguasaan bahasa Inggeris kita meningkat, antara program yang kita perkenalkan ialah kita bawa penutur jati membantu guru dan juga pelajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.
   
"Seterusnya kita akan latih 61,000 guru bahasa Inggeris yang kita ada untuk (menjadikan mereka) lebih mahir dan lebih pakar lagi," katanya.
   
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata program Pengajaran Bahasa Inggeris dan Literasi (TELL) yang mula diperkenalkan pada 2011 menampakkan peningkatan yang memberangsangkan bagi penguasaaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru.

Katanya kemahiran mengajar bahasa Inggeris dalam kalangan guru Tahap Satu sekolah rendah telah meningkat secara purata sebanyak 54 peratus, sementara kebolehan menulis dan membaca bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, meningkat 16 peratus berbanding pelajar yang tidak berada dalam program itu.
  
"Saya difahamkan para mentor dan rakan sejawatan mereka di Malaysia telah bersama-sama menghasilkan ribuan bahan dan sumber komunikasi.
    
"Saya yakin dengan transformasi menyeluruh kementerian kini, telah membawa anjakan paradigma dalam cara kita berfikir, bertindak dan menyelesaikan masalah kecekapan bahasa dalam kalangan guru-guru Malaysia yang tidak lagi mustahil," katanya. .
   
TELL ialah program untuk mempertingkat tahap penguasaan bahasa Inggeris dan literasi dalam kalangan guru-guru bahasa Inggeris Tahap Satu (yang mengajar Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah.
   
Seramai 360 mentor yang merupakan penutur jati bahasa Inggeris dibahagikan kepada beberapa kawasan seluruh negara dengan setiap mentor akan bertanggungjawab menjaga lima buah sekolah dalam satu kawasan.  - Bernama





Monday, March 4, 2013

Permainan percuma, kena bayar iklan RM8,059





Danny Kitchen bersama permainan Zombies.

LONDON 1 Mac - Seorang kanak-kanak Britain berusia lima tahun yang bermain permainan percuma di dalam iPad tanpa disedarinya membelanjakan wang bapanya lebih 1,700 pound (RM8,059) ke atas iklan tambahan di tablet itu.

Danny Kitchen sebelum itu meminta bapanya kod laluan bagi membolehkannya memuat naik permainan percuma Zombies di dalam iPad.

Namun, dia secara tidak sengaja telah membelanjakan wang bapanya ke atas iklan tambahan di dalam iPad.

Keesokan harinya, ibunya, Sharon, 44, menerima 19 e-mel daripada iTune untuk pembelian berjumlah 69.99 pound (RM332) ke atas aplikasi untuk membantunya dalam permainan tersebut.

Sharon dan suaminya, Greg, yang berasal dari Bristol menghubungi Apple untuk mendapatkan wang mereka, tetapi sehingga kini masih tidak mendapat sebarang jawapan.

Menurutnya, ketika kejadian, mereka menerima ramai tetamu dan menyebabkan mereka terleka.

"Saya tidak membenarkan suami memberikan kod laluan itu, tetapi Danny menyatakan ia adalah permainan percuma.

"Saya telah memeriksa akaun bank dan tidak ada sebarang transaksi berlaku, tetapi tidak lama selepas itu saya menerima panggilan daripada pengendali kad kredit yang menanyakan tentang 19 transaksi pembelian dengan setiap satunya bernilai 69.99 pound (RM332).





Friday, March 1, 2013

Robot humanoid mampu bergerak seperti manusia


ROLF PFEIFER bersalaman dengan robot humanoid, 
Roboy pada satu sidang media di Zurich

ZURICH, Switzerland - Sepasukan saintis Switzerland berjaya mencipta sebuah robot humanoid yang dipanggil Roboy di Universiti Zurich kelmarin.

Pengarah makmal kepintaran buatan manusia (AI) Universiti Zurich, Profesor Rolf Pfeifer berkata, sebuah pasukan terdiri daripada beberapa cendekiawan dan wakil-wakil industri telah bekerjasama untuk menghasilkan robot masa depan itu sejak bulan Jun 2012 lalu.

Robot itu direka untuk kelihatan dan berkelakuan seperti seorang manusia.

Para saintis yang terlibat telah mengambil tempoh masa selama sembilan bulan untuk membina robot tersebut.

Katanya, apa yang membezakan Roboy dengan robot humanoid lain ialah cara ia bergerak.

Robot itu dibangunkan untuk berjalan seperti seorang manusia melalui penggunaan pacuan tendon berteknologi tinggi.

"Ia boleh digunakan dalam persekitaran isi rumah, yang boleh digunakan dalam persekitaran pembuatan, yang mana robot itu bekerjasama dengan orang dan saya fikir kerjasama ini adalah sangat penting.

"Manusia-robot ini amat berguna. Kita juga sering bercakap tentang proses penuaan dalam kalangan penduduk. Teknologi ini dapat membantu golongan warga emas tersebut," katanya.

Robot tersebut mempunyai ketinggian 1.2 meter dan diprogram dengan kecekapan mengenali muka seseorang. - Agensi