Wednesday, October 24, 2012

Peperiksaan percubaan SPM secara online

MENINGKATKAN PENGUASAAN: Doris (tiga kanan) dan Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah Aishah Ahmad menunjukkan cara menggunakan Educube kepada pelajar. — Gambar Muhammad Rais Sanusi



KUCHING: Celcom Axiata Berhad (Celcom)  akan meningkatkan persediaan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperkenalkan peperiksaan percubaan secara online menerusi Educube.

Produk terbaru syarikat telekomunikasi gergasi negara itu menggabungan perkhidmatan pendidikan online tiga dalam satu dengan melibatkan sekolah, tuisyen dan peperiksaan.
Peperiksaan percubaan online SPM Educube akan memberi peluang kepada calon meningkatkan penguasaan mereka dalam empat subjek utama merangkumi Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dengan 40 soalan yang perlu dijawab dalam tempoh sejam.

Apabila melanggan produk tersebut, pelajar juga boleh memiliki masa dan tarikh antara 22 hingga 28 Oktober bagi menduduki peperiksaan percubaan online namun hanya untuk tempoh sekali sahaja.

Menurut Pengurus Pemasaran Wilayah Sarawak Doris Ting, keputusan keseluruhan di seluruh negara akan dipaparkan dalam tempoh 48 jam selepas tarikh akhir peperiksaan.

“Pelajar yang mengikuti peperiksaan ini boleh melihat keputusan, mengkaji jawapan salah dan mengenal pasti kedudukan di kalangan semua pelajar yang menduduki peperiksaan menerusi Kad Laporan Educube Online.

“Tiga pelajar terbaik bakal menerima dana pendidikan berjumlah RM10,000,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, Educube mengandungi lebih daripada 70,000 soalan dan permainan serta peraduan.

“Modul seperti e-Assessment, Soalan Praktis Topikal dan Pengajaran Multimedia dilihat mampu menggalakkan pelajar untuk belajar”.

Pada satu majlis yang diadakan di Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah semalam, seramai 160 calon SPM sekolah terbabit menikmati perkhidmatan tersebut secara percuma untuk tempoh sebulan.

Setiap langganan dikenakan caj hanya RM4.99 sebulan manakala untuk pelanggan pelajar perlu menghantar ON EDUCUBE menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke 21234 dan mengikut arahan yang diberikan.

Untuk keterangan lanjut, para pelajar boleh melayari http://educube.thecube.my.









Tuesday, October 23, 2012

5 Cara Atasi Gemuruh



PERNAHKAH KAMU RASA BERDEBAR-DEBAR ATAU DARAH GEMURUH KETIKA INGIN TAMPIL DI KHALAYAK RAMAI? TIBA-TIBA BADAN TIBA-TIBA BERPELUH-PELUH, TANGAN MULA MENGGIGIL DAN BIBIR TERKETAR-KETAR? JIKA KAMU MENGALAMI SIMPTOM SEBEGINI, JOM SEMAK LIMA CARA UNTUK KAMU MENGATASI RASA GEMURUH TERSEBUT.

1.Bertenang & Tarik Nafas
Sebelum memulakan ucapan atau pembentangan, bertenang seketika dan kemudian tarik nafas perlahan-lahan. Ulang kali langkah tersebut dua hingga tiga sehingga kamu benar-benar berasa tenang. Cara begini boleh mengembalikan kadar degupan jantung kamu kepada tahap yang normal.

2.Berlatih Depan Cermin
Jika kamu memang langsung tidak boleh berucap di hadapan orang ramai, cubalah berlatih bercakap di hadapan cermin. Latih diri kamu setiap hari dan cuba bayangkan cermin tadi adalah orang ramai yang melihat kamu berucap. Latihan yang konsisten dapat menghilangkan rasa gemuruh tersebut dan kamu akan lebih yakin di khalayak ramai.

3.Persediaan Awal
Setiap kali ada pembentangan, pasti kan kamu orang yang terawal membuat persediaan bagi mengelakkan kamu merasa gemuruh. Lakukan sedikit persediaan tentang apa yang perlu dibentangkan agar kamu tidak tersilap fakta. Jika kamu telah bersedia daripada awal, kemungkinan untuk kamu melakukan kesilapan saat berhujah atau memberikan ucapan amatlah rendah. Ini akan membuatkan kamu lebih bersedia dan dapat mengurangkan gementar di hati.

4.Beri Tumpuan
Kamu perlu memberikan sepenuh tumpuan terhadap perkara yang ingin kamu lakukan. Jangan fikirkan tentang perkara lain yang belum selesai. Rasa gementar kamu timbul kerana kamu terlalu memikirkan banyak perkara. Fokuskan pemikiran kamu kepada perkara yang ingin dilakukan dan selepas selesai, barulah kamu fikirkan perkara yang lain pula.

5.Positifkan Diri
Jangan terlalu memikirkan mereka hanya memberikan tumpuan kepada kamu dan memikirkan perkara yang negatif. Sematkan kata-kata positif dalam diri bahawa kamu yakin dan pasti boleh melakukannya. Lakukan berulang-ulang kali dengan penuh emosi dan percayalah pada diri sendiri.



Friday, October 19, 2012

Budak enam tahun juruhebah termuda

Amber gembira mengendalikan slotnya sendiri.
Amber gembira mengendalikan slotnya sendiri.

LONDON - Buku Rekod Guinness menamakan seorang budak perempuan berumur enam tahun, Amber Jacobs sebagai juruhebah paling mudah dalam gelombang udara.

Pada umur enam tahun, Amber  atau dikenali sebagai DJ AJ dikategorikan sebagai kanak-kanak matang, menjadi tajuk utama apabila berkongsi muzik yang digemarinya bersama pendengar selain tampil sensasi dalam internet.

Kehebatan Amber terdedah sejak enam bulan lalu, apabila dia membantu bapanya, Steve, seorang pengarah stesen radio internet TBFM Online memilih lagu untuk disiarkan.

Amber kini memiliki slotnya sendiri yang dikeudarakan dalam segmen bapanya dan Amber  bertanggungjawab memilih dan memainkan lagu selain bercakap dan memberi isyarat muzik.

Dalam satu temu bual bersama akhbar harian Britain, The Sun, Steve memberitahu anaknya itu sentiasa menari sebaik sahaja beliau menyiarkan muzik yang digemarinya di dalam studio.  - AFP





Wednesday, September 26, 2012

Permohonan Ke Tingkatan 4 MRSM Dibuka 1 Oktober

Permohonan Ke Tingkatan 4 MRSM Dibuka 1 Oktober

KUALA LUMPUR – Permohonan kemasukan ke Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun 2013 akan dibuka secara ‘online’ mulai 1 Oktober ini selama sembilan hari.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Mara, permohonan dan keterangan lanjut boleh dibuat dengan melayari laman web, www.mara.gov.my. BERNAMA


Thursday, September 13, 2012

Tindakan segera diambil atasi kesilapan pada kertas peperiksaan ujian Aptitud


KUALA LUMPUR - Lembaga Peperiksaan telah mengambil tindakan segera dalam mengatasi kesilapan pada kertas peperiksaan ujian Aptitud Tahun Enam yang diduduki pelajar pada petang ini.
   
Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, semua sektor penilaian dan peperiksaan Jabatan Pelajaran negeri diarah untuk memaklumkan kepada Ketua Pengawas peperiksaan sekiranya terdapat jawapan E bagi soalan 41 hingga 61, calon peperiksaan diarah untuk menulis huruf E di kertas jawapan objektif.
   
Masalah ini timbul apabila ruang jawapan objektif bagi soalan 41 hingga 61 yang disediakan untuk calon hanya mempunyai abjad A,B,C dan D sahaja, sedangkan pilihan jawapan pada kertas soalan itu adalah A,B,C,D dan E.
   
Kenyataan itu turut menyebut Lembaga Peperiksaan akan memeriksa jawapan calon secara 'hand score' dan keputusan ujian ini tidak akan menjejaskan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tidak dicetak pada slip keputusan calon.
   
Ujian Aptitud ini bertujuan melihat potensi diri, minat dan kecenderungan murid dan potensi yang dilaporkan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.
   
Minat dan kecenderungan murid dilihat dalam bidang akademik, teknik, vokasional, seni budaya dan sosial atau sukan, menurut kenyataan itu. - Bernama



Kertas percubaan SPM bocor di FB


KUALA LUMPUR - Soalan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bagi Kuala Lumpur dan Selangor, yang berjalan dari 29 Ogos lalu hingga 21 September ini, didakwa sudah tersebar menerusi laman sosial Facebook.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada seorang guru tuisyen yang memberitahu bahawa pautan kepada soalan itu dimuat turun di Facebook sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek.

''Selalunya mereka akan letak soalan itu sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek, namun apa yang menimbulkan tanda tanya sekarang mengapa tiada tindakan diambil meskipun ada guru sekolah yang mengetahui tentang perkara ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Sementara itu, semakan Sinar Harian di laman sosial berkenaan pada awal pagi mendapati terdapat 23,000 orang telah menerima laman tersebut, namun selepas maklumat mengenainya tersebar di media, laman itu telah tiada pada jam 3 petang tadi.

Hasil semakan itu mendapati terdapat 10 subjek yang didakwa kertas percubaan SPM sebenar peperiksaan telah dimuat turun di laman tersebut.

“Saya harap pihak berkuasa termasuk Kementerian Pelajaran dapat menyiasat dan mengenakan tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat kerana kertas percubaan yang dimuat turun adalah 99.9 peratus tepat seperti soalan sebenar,” katanya.






Monday, September 10, 2012

Gordon-Brown mahasiswa termuda

WALAUPUN bergelar mahasiswa, Gordon-Brown masih mengikuti kelas persekolahan seperti biasa.
WALAUPUN bergelar mahasiswa, Gordon-Brown masih mengikuti kelas persekolahan seperti biasa.

LONDON: Seorang budak berusia 12 tahun yang mendapat markah A bagi subjek matematik dalam peperiksaan sekolah menengah kini menjadi mahasiswa termuda Britain.

Berdasarkan umurnya, Xavier Gordon-Brown mungkin terlalu muda untuk dibenarkan membuka akaun di Facebook, namun pada masa sama, dia kini mengikuti kursus matematik bagi peringkat ijazah.

Gordon-Brown layak mengikuti pengajian peringkat universiti selepas lulus ujian Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) pada 2009 dan menjadikan dia calon termuda memperoleh markah A dalam subjek berkenaan.

Kini, Gordon-Brown mengikuti kelas pengajian di Universiti Terbuka di Grinstead Timur dua atau tiga kali sebulan.


Disebabkan usianya juga, Gordon-Brown terpaksa ditemani ibunya setiap kali dia pergi ke dewan kuliah.


Berasal dari Haywards Heath di Sussex, Gordon-Brown masih meneruskan persekolahannya seperti biasa, selain menyertai pelbagai aktiviti seperti belajar bermain klarinet, piano dan biola.

Di sekolah, Gordon-Brown mempelajari empat bahasa asing dan aktif bermain bola.

Dia mengikuti kuliah apabila tiada sesi persekolahan atau aktiviti berkaitan dengannya.

Ibu Gordon-Brown, Erica, berkata dia amat bangga dengan pencapaian anak bongsunya itu.

Walaupun ada ibu bapa yang memastikan anak mereka membesar di kalangan rakan sebaya, dia berpendapat, Gordon-Brown boleh menyesuaikan diri bergaul dengan mahasiswa yang jauh lebih dewasa daripadanya.

“Adalah baik untuk Gordon-Brown dapat berkawan dengan seseorang yang memiliki tahap intelektual setara dengannya,” katanya. 

Minat Gordon-Brown kepada angka bermula sejak awal.

Kata Erica, anaknya itu mula menguasai kemahiran sifir sebelum berusia empat tahun dan mampu menyelesaikan soalan aritmetik mental walaupun belum bersekolah. 

“Setahun selepas mencatat kejayaan di peringkat GCSE, Gordon-Brown lulus peperiksaan A-level,” katanya. - DM