Monday, September 12, 2011

7 Tips Untuk Cemerlang dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan


1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.


sumber: ibnismail.wordpress.com

Saturday, September 10, 2011

Tips belajar saat akhir


Bertenang dan jangan cemas

Anda perlu bertenang dan jangan cemas. Tiada faedah yang akan diperolehi sekiranya anda cemas keterlaluan. Belajar disaat akhir juga memerlukan strategi yang betul. Ini kerana masa yang anda terhad. Selepas bertenang buat penilaian apa tindakan yang akan diambil seterusnya. Rancang tindakan akan akan diambil dan disiplinkan diri untuk mengikut perancangan yang dibuat.

Beri tumpuan lebih terhadap pembelajaran

Letakkan seluruh tumpuan fikiran anda kepada proses pembelajaran yang anda lakukan. Jangan terlalu memikirkan bahawa anda kesuntukan masa. Hafal perkara yang sepatutnya dihafal seperti biasa dan jangan melengah-lengahkan masa belajar.

Meskipun anda cuba mengenepikan ketakutan dan kegelisahan yang anda alami itu, tetapi lama-kelamaan perasaan itu akan datang semula. Sekiranya hal ini berlaku, cuba alihkan diri anda dari tempat belajar untuk melakukan senaman ringan seperti berdiri sambil menarik dan melepaskan nafas panjang-panjang secara perlahan-lahan beberapa kali. Kemudian duduk semula dan cuba teruskan pembelajaran anda. Cara ini sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan perasaan anda yang tidak tenteram itu.
Yakin terhadap kebolehan diri

Selalu tanamkan dalam diri anda bahawa “saya boleh” dan tulis besar-besar dan terang dan letakkan di hadapan anda (di tempat anda belajar). Tiap-tiap kali anda melihat kad itu anda yakin bahawa anda boleh berjaya. Sekiranya anda dapat menanamkan dalam diri anda bahawa anda bekeyakinan penuh boleh melakukan, maka secara sepontan anda berusaha bersungguh-sungguh dan mental anda dapat berfikir ke arah kejayaan dan apa-apa yang anda cita-citakan selama ini akan membuahkan kejayaan yang membanggakan.
Masa rehat perlu secukupnya

Semasa belajar anda berasa cepat letih, sama ada dari segi fizikal atau mental. Ambil masa untuk otak anda berehat sepenuhnya. Anda juga digalakkan bangun dan cuba berjalan-jalan sebentar dan setelah merasakan kelegaan barulah anda menyambung semula pembelajaran anda.
Hapuskan tabiat suka tidur

Sebaiknya para pelajar tidak terlalu melayan keinginan untuk tidur dari belajar. Kurangkan waktu tidur anda demi meraih satu kejayaan. Gunakan lebih banyak masa mengulangkaji pelajaran di samping melakukan latihan-latihan sendiri supaya anda berkeyakinan. Jadualkan masa tidur anda supaya anda tidak terlebih tidur. Sekiranya anda hendak tidur beberapa jam, anda pelu mengunci jam dan letakkan jam loceng berhampiran anda supaya anda terjaga pada waktu yang dikehendaki.

Masa-masa beginilah yang paling sesuai agar tidak akan diganggu. Penumpuan tenaga dan fikiran terhadap pembelajaran juga akan menjadi mudah. Keadaan ini tidak mendatangkan masalah kerana kajian yang pernah dibuat menunjukkan bahawa kecerdasan berfikir dan keupayaan membuat keputusan tidak terjejas berikutan dengan pengurangan waktu tidur yang dilakukan.

Tidur merupakan waktu rehat yang paling baik dalam persediaan menghadapi peperiksaan. Tetapi ramai pelajar membawa masalah pelajaran ke tempat tidur dan memikirkan pelbagai perkara tentang masalah ini. Akibatnya mereka mengalami gangguan tidur dan ada yang tidak dapat tidur langsung. Pada keesokan harinya, pelbagai perkara akan berlaku seperti berasa pening, tidak selesa dan tidak tenteram kerana ketegangan fikiran dan kelesuan tubuh badan. Ini boleh menjejaskan prestasi mereka pada hari peperiksaan. Sekiranya mereka terpaksa menghadapi peperiksaan pada hari itu, mungkin mereka tidak dapat berfikir dengan tenang seterusnya akan menjejaskan ketepatan jawapan yang diberikan.
Jangan mengambil sebarang ubat yang meragukan

Pengambilan sebarang ubat mengganggu sistem saraf dan menyebabkan keadaan menjadi tegang dan mudah terangsang. Anda tidak perlu lagi mengambil sebarang pil peransang atau ubat-ubatan yang diragukan kesahihannya untuk mencegah tidur. Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda hendak mengambil pil-pil sedemikian. Jangan sesekali bertindak sendirian. Ini akan membahayakan anda.

Ubat peransang menyebabkan keletihan yang melampau. Ubat peransang sedemikian mematikan segala perasaan dan keinginan. Melalui ubat-ubat seperti ini, anda mungkin tidak dapat mengesan keletihan yang melampau secara terus. Ubat-ubat ini meransang anda untuk terus belajar tanpa rasa keletihan tetapi kesan yang bakal diterima menjadi lebih buruk setelah habis belajar.

Selain itu, elakkan juga dari meminum minuman berkafein seperti kopi atau teh yang berlebihan. Kesannya sama seperti memakan pil peransang yang menyebabkan kesan-kesan negatif seperti tangan menggeletar, tumpuan terjejas. Dalam keadaan yang tertentu mungkin menyebabkan lupa selain daripada kesan-kesan negatif yang lain. Seeloknya untuk mengawal rasa mengantuk, amalkan meminum lobak susu kerana ia akan mencergaskan lagi otak untuk berfikir.
Beri tumpuan lebih kepada bab yang penting

Dalam keadaan sebegini, anda hanya sempat mempelajari bahagian-bahagian yang penting sahaja. Jangan beri tumpuan berlebihan kepada bahagian-bahagian yang kurang penting. Cuba pilih lima atau enam isi penting daripada satu-satu bahagian dan tuliskan isi-isi penting ini di atas kertas dan cuba ingat serta hafalkan. Anda tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempelajari butir-butir yang kurang penting. Banyakkan membuat soalan-soalan tahun lepas yang sering keluar sebagai latihan dapat membantu anda menumpukan bahagian yang patut dipelajari terlebih dahulu. Cuba pilih soalan-soalan yang mesti dijawab dan sediakan sekuarng-kurangnya enam atau tujuh isi dari setiap soalan yang anda pilih

sumber: ms.wikibooks.org