Monday, May 28, 2012

Pelajar pintar selesaikan teori Sir Isaac Newton

Shouryya
Shouryya kini bergelar budak pintar selepas merungkai teori Sir Isaac Newton


BERLIN - Teka-teki dibuat oleh Sir Isaac Newton sehingga merunsingkan dunia matematik sejak lebih 350 tahun lalu, akhirnya dirungkaikan oleh seorang remaja berumur 16 tahun di Dresden, Jerman.

Shouryya Ray, berjaya menyelesaikan dua teori dinamik zarah asas yang sebelum ini hanya dapat dihitung dengan menggunakan komputer berkuasa tinggi oleh ahli fizik.

Hasil penyelesaian Shouryya membuka peluang kepada saintis untuk menghitung laluan balingan bola dan kemudian meramal bagaimana ia akan menghentam serta melantun dari dinding ke dinding.

Anak kelahiran Kolkata, India, menyelesaikan permasalahan rumit itu, ketika menyertai lawatan sekolah di Universiti Dresden yang mana gagal dirungkaikan oleh profesor di situ.

Kebijaksanaan Shouryya dikesan sejak dia mula memasuki persekolahan di Dresden empat tahun lalu selepas berpindah dari Kolkata.


Monday, May 7, 2012

Status permohonan ke IPTA bagi lepasan SPM boleh disemak mulai hari ini


KUALA LUMPUR - Status keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya boleh diketahui mulai hari ini.

Keputusan permohoan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pula boleh diketahui mulai 12 tengah hari esok, demikian menurut kenyataan akhbar ketiga-tiga universiti itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

Semakan boleh dilakukan melalui laman web http://www.um.edu.my/kemasukan, http://www.ukm.my/kemasukan/tawaran dan http://www.smp.upm.edu.my/tawaran bagi program Asasi Sains, Asasi Pengajian Islam  di UM, program Asasi Pintar di UKM dan program Asasi Sains Pertanian dan diploma di UPM.

Calon yang berjaya boleh menyemak maklumat tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) masing-masing untuk membuat pengesahan dalam tempoh tujuh hari bekerja bermula esok hingga 15 Mei ini.

Tarikh pendaftaran penuntut baru ke program Asasi Pintar UKM adalah pada 23 Mei bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi, program Asasi Sains dan Asasi Pengajian Islam UM pada 27 Mei, manakala program Asasi Sains Pertanian pada 17 Mei di UPM, Serdang dan diploma pada 7 Jun di UPM, Kampus Bintulu.

Bagi calon yang gagal, mereka boleh mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 18 Mei dan keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua Jun 2012.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Seksyen Kemasukan dan Rekod, Bahagian Akademik, UM di talian 03-79673448/3440/3502, Bahagian Pengurusan Akademik UKM di talian 03-89215336/5041/4126 atau Pusat PERMATA Pintar Negara ditalian 03-89216265/7507 dan Bahagian Akademik UPM di talian 03-89466059/6060/6056. - Bernama